comscore
Tumpuan :
Dunia

Ketegangan Israel-Hizbullah cetus kebimbangan konflik Gaza bertambah buruk

Ketua Hizbullah, Hassan Nasrallah berucap di televisyen pada upacara peringatan untuk Taleb Abdallah, komander kanan kumpulan itu yang terbunuh pada 11 Jun bersama tiga lagi pejuang Hizbullah dalam serangan Israel ke atas perkampungan Jouaiyya di selatan Lubnan. – Foto REUTERS

BEIRUT: Kebimbangan terhadap perang serantau meningkat susulan Hizbullah Lubnan menegaskan tiada seorang pun daripada Israel akan terselamat dalam konflik selepas Israel meluluskan rancangan untuk menyerang Lubnan.

Hizbullah berkata, mereka sudah melepaskan puluhan roket ke utara Israel sebagai tindakan balas terhadap serangan udara di selatan Lubnan, yang didakwa Israel membunuh seorang pejuang Hizbullah.

Hizbullah berkata, beberapa serangan lain ke atas tentera dan kedudukan Israel juga dilakukan.

Dalam ucapan di televisyen, Ketua Hizbullah, Hassan Nasrallah melaungkan amaran tiada tempat di Israel akan terlepas daripada serangan roket mereka jika perang lebih besar bermula.

Kumpulan yang disokong Iran itu turut mengancam negara jiran Cyprus, sekiranya mereka membuka lapangan terbang atau pangkalannya kepada Israel untuk menyasarkan Lubnan.

Cyprus, ahli Kesatuan Eropah menempatkan dua pangkalan British, termasuk pangkalan udara, tetapi ia berada dalam wilayah berdaulat British dan tidak dikawal oleh kerajaan Cyprus.

Semalam, jurucakap kerajaan Cyprus, Konstantinos Letymbiotis menolak dakwaan itu dengan berkata tidak berasas sama sekali mengenai kemungkinan pembabitan dalam konflik yang berkaitan dengan Lubnan.

Pesawat perang dari pangkalan udara British di Cyprus bersama tentera Amerika Syarikat (AS), menyerang pemberontak Huthi Yaman yang disokong Iran yang sejak berbulan lalu, menyasarkan kapal di Laut Merah.

Kelmarin, tentera AS berkata, tenteranya turut memusnahkan dua pangkalan Huthi di Yaman.

Huthi dan Hizbullah menyatakan tindakan mereka itu sebagai tindak balas terhadap serangan Israel di Gaza.

Selasa lalu, tentera Israel mengumumkan mengenai rancangan operasi untuk serangan di Lubnan sudah diluluskan dan disahkan.

Pada hari yang sama, Hizbullah menerbitkan video yang menunjukkan rakaman dron yang dirakam di utara Israel, termasuk bahagian bandar dan pelabuhan Haifa.

Utusan AS, Amos Hochstein pula menggesa langkah mengurangkan tekanan (de-escalation) ‘mendesak’ dilakukan, manakala penyelaras khas PBB untuk Lubnan, Jeanine Hennis-Plasschaert mengesahkan ‘konflik tidak dapat dielakkan’ sewaktu beliau melawat pasukan pengaman PBB di selatan Lubnan.

Keganasan rentas sempadan itu sudah membunuh sekurang-kurangnya 479 orang di Lubnan, kebanyakannya pejuang.

Pihak berkuasa Israel pula berkata, sekurang-kurangnya 15 tentera dan 11 orang awam terbunuh di utara negara itu.

Penduduk Beirut bagaimanapun dilihat memperkecilkan peluang perang di Lubnan, ekoran kebuntuan politik dan kelesuan ekonomi yang berterusan selama lima tahun.-AGENSI

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini