comscore
Tumpuan :
Dunia

Korea Utara lancar ‘kapal selam serangan nuklear taktikal’ baharu

Foto: Reuters

SEOUL: Korea Utara melancarkan “kapal selam serangan nuklear taktikal” yang mampu melakukan serangan dalam air, dengan pemimpin Kim Jong Un berikrar untuk “menguatkan lagi pencegahan nuklear negara”.

Majlis pelancaran kapal selam itu yang diadakan pada Rabu, dihadiri oleh pemimpin Korea Utara menjelang ulang tahun ke-75 penubuhan negara itu yang bakal disambut pada Sabtu, lapor agensi berita Yonhap memetik agensi berita rasmi Korean Central News Agency (KCNA) pada Jumaat.

Diberi nama Hero Kim Kun Ok, kapal selam serangan nuklear taktikal No. 841 — yang pertama seumpamanya — akan “melaksanakan misi tempurnya bagi memperkukuh pasukan tentera laut” Korea Utara.

Beliau juga mengumumkan rancangan negara untuk membina lebih banyak kapal selam, termasuk kapal selam berkuasa nuklear.

Beliau kemudian menegaskan bahawa pembangunan pesat tentera laut adalah “keutamaan utama” untuk pertahanan negara, memandangkan keadaan geopolitik serta “cubaan agresif baru-baru ini oleh pihak musuh.”

Foto-foto awal yang dikeluarkan oleh KCNA menunjukkan bahawa kapal selam terbaharu itu dilengkapi dengan sepuluh tiub peluru berpandu yang berkemungkinan mampu melancarkan peluru berpandu balistik (SLBM) dari kapal selam, walaupun Korea Utara tidak memberikan sebarang butiran.

Kapal selam itu juga dianggap mampu melancarkan “Haeil,” kenderaan dalam air tanpa pemandu bersenjata nuklear pertama Korea Utara yang diperkenal pada Mac lalu.

Seorang pegawai tentera Korea Selatan, bagaimanapun, menimbulkan persoalan mengenai keupayaan kapal selam baharu Korea Utara itu.

“Analisis ciri luaran kapal selam Korea Utara setakat ini menunjukkan bahawa sebahagian daripadanya telah diperbesarkan untuk membawa peluru berpandu,” kata seorang pegawai di Ketua Turus Bersama (JCS) kepada pemberita.

“Tetapi ia dinilai bahawa (kapal selam) bukan dalam bentuk yang mampu beroperasi secara normal,” kata pegawai itu. – BERNAMA-YONHAP

Loading...
Terkini