comscore
Tumpuan :
Dunia

Korea Utara lancar lagi peluru berpandu jelajah 

Foto: Reuters

SEOUL: Korea Utara pada Ahad melancarkan beberapa peluru berpandu jelajah dari pantai timurnya, kata tentera Korea Selatan, beberapa hari selepas Pyongyang menguji peluru berpandu jelajah strategik baharu dari pantai barat negara itu.

Ketua Turus Bersama Korea Selatan (JCS) berkata pelancaran peluru berpandu Korea Utara itu dibuat kira-kira 8 pagi di perairan Pelabuhan Shinpo, tetapi tidak menjelaskan lebih lanjut dengan merujuk kepada analisis yang sedang dijalankan.

“Sambil memperkukuh pemantauan dan kewaspadaan kami, tentera kami telah secara rapat menyelaras dengan Amerika Syarikat (AS) untuk memantau provokasi tambahan Korea Utara,” menurut JCS dalam kenyataan, lapor Agensi Berita Yonhap

Ini merupakan pelancaran peluru berpandu jelajah kedua Pyongyang tahun ini selepas ia menembak peluru berpandu jelajah strategik yang dinamakan Pulhwasal-3-31 ke Laut Kuning pada Rabu.

Menurut pakar Pulhwasal-3-31 dipercayai merupakan peluru berpandu jelajah berkeupayaan nuklear, memandangkan nombor dalam namanya adalah sama dengan Hwasan-31, kepala peledak nuklear taktikal yang kali pertama  didedahkan oleh Korea Utara pada Mac 2023.

Korea Utara telah mencetuskan ketegangan di Semenanjung Korea dengan melancarkan ujian senjata dan retorik keras dalam tahun pilihan raya bagi Korea Selatan dan AS. — BERNAMA-YONHAP

Loading...
Terkini