comscore
Tumpuan :
Dunia

Lapangan terbang terpaksa ditutup susulan letusan gunung berapi di Guatemala

FOTO : AP

GUATEMALA CITY: Sekurang-kurangnya dua penerbangan terpaksa dialihkan susulan gunung Feugo meletus sekali lagi, mengeluarkan kepulan debu diterbangkan angin sejauh 35 kilometer (km) dari lokasi gunung berapi terbabit.

Lapangan Terbang Antarabangsa La Auro yang terletak 6km di selatan ibu negara juga terpaksa ditutup sementara ekoran letusan lava dan abu daripada gunung berapi terbabit.

Ledakan Feugo yang juga antara gunung berapi paling aktif di Amerika Tengah itu boleh didengari sejak malam Sabtu lalu, selain memuntahkan lava serta abu setinggi 2km.

La Auro kemudian dibuka semula kira-kira tengah hari selepas arah tiupan angin bertukar, mengalihkan debu dari kemudahan berkenaan, kata sumber penerbangan.

Jurucakap polis lebuh raya, Carlos Aquuino, berkata jalan raya menghubungkan selatan dan ibu kota Guatemala juga ditutup sebagai langkah berjaga-jaga.

Ia kemudiannya dibuka semula petang semalam, selepas aktiviti gunung berapi itu berkurangan.

Feugo yang terletak kira-kira 16km dari Antigua, bekas ibu negara yang menjadi tarikan pelancong terbesar itu secara purata meletus setiap empat hingga lima tahun.

Pada 2018, Feugo memuntahkan lava yang memusnahkan perkampungan San Miguel Los Lotes, mengorbankan 215 orang, selain menyebabkan jumlah hampir sama mangsa yang hilang.

Guatemala memiliki dua lagi gunung berapi aktif, iaitu Santiaguito dan Pacaya, masing-masing terletak di barat serta selatan negara itu.

Fuego pula terletak bersebelahan gunung berapi tidak aktif, Acatenango, pada ketinggian 3,500 meter. – AFP

Loading...
Terkini