Tumpuan :
Dunia

Lintasan Rafah dibuka semula

FOTO: Reuters

GAZA: Puluhan pemegang pasport asing dan berapa mangsa perang yang cedera dari Gaza melintasi pintu Rafah untuk ke Mesir sejak Isnin lalu, tiga hari selepas laluan itu ditutup, kata sumber di Mesir.

Pihak berkuasa sempadan Gaza berkata, penduduk Mesir dan warga asing yang nama mereka terkandung dalam senarai kelulusan sejak Rabu lalu akan dibenarkan meninggalkan Gaza menggunakan satu-satunya laluan yang tidak bersempadan dengan Israel.

Jumlah warga asing dan tanggungan mereka serta penduduk Gaza yang cedera berhenti menggunakan laluan berkenaan sejak Sabtu selepas sebuah ambulans musnah diserang Israel, menurut pegawai di Mesir.

Jumlah trak bantuan yang melepasi lalu itu juga berkurangan kepada hanya 25 sejak Ahad lalu berbanding 102 trak pada Khamis, menurut data Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Proses pemindahan yang disambung semula pada Isnin menyaksikan 80 pemegang pasport dwi-kerakyatan dan 17 mangsa yang cedera meninggalkan Rafah pada awal petang, manakala 48 trak bantuan menuju ke Gaza, menurut pihak berkuasa Mesir.

Mesir juga berusaha mendapatkan jaminan bagi keselamatan ambulans yang digunakan bagi pemindahan mangsa perang , termasuk kenderaan pengiring Jawatankuasa Antarabangsa Palang Merah (ICRC).

“Sebarang usaha membolehkan konvoi ambulans membawa mangsa perang ke lintasan Rafah mesti diiringi kenderaan ICRC dan PBB bagi melindungi mereka daripada pengeboman Israel, seperti yang berlaku sebelum ini,” kata pejabat media Hamas.

ICRC berkata ia sudah mengiringi konvoi empat ambulans membawa pesakit dari Hospital al-Shifa di Bandar Gaza menuju ke sempadan Rafah Isnin lalu.

Pihak berkuasa Palestin menerbitkan nama mereka yang diluluskan bagi pemindahan oleh pihak berkuasa Mesir dan Israel sejak 1 November sehingga Sabtu lalu.

Setakat ini, Israel masih tidak membenarkan penghantaran bahan api, yang amat diperlukan bagi membekalkan air bersih, penjana kuasa hospital dan penghantaran bantuan, daripada memasuki Gaza dari Mesir. – REUTERS

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini