comscore
Tumpuan :
Dunia

Mahkamah Agung Pakistan benarkan Imran Khan diikat jamin

Bekas Perdana Menteri Pakistan, Imran Khan. – FOTO REUTERS

ISLAMABAD: Mahkamah Agung Pakistan hari ini membenarkan bekas Perdana Menteri, Imran Khan, diikat jamin dalam kes berkaitan kebocoran rahsia negara.

Bagaimanapun, masih belum jelas berhubung soal pelepasannya melalui ikat jamin itu kerana beliau masih menjalani hukuman penjara tiga tahun atas kesalahan rasuah, selain menghadapi pertuduhan lain.

Imran, 71, berdepan kemelut perundangan sejak digulingkan daripada jawatan Perdana Menteri pada April 2022.

Beliau dihukum penjara tiga tahun pada Ogos lalu atas kesalahan menjual hadiah negara secara haram ketika menerajui pentadbiran Pakistan dari 2018 hingga 2022.

Imran kekal hilang kelayakan untuk bertanding pada pilihan raya umum dijadualkan berlangsung pada 8 Februari 2024, berikutan sabitan kesalahannya itu selepas Mahkamah Tinggi semalam menolak untuk menggantung keputusan berkenaan.

Begitupun, Imran tetap memfailkan kertas penamaan beliau sebagai calon pilihan raya, hari ini, menurut pasukan media partinya.

Dalam perintah mahkamah secara bertulis, hakim Mahkamah Agung berkata, mereka tidak dapat menemui bahan mencukupi untuk menunjukkan Imran membocorkan rahsia negara dengan tujuan untuk memanfaatkan kuasa asing.

Menurut perintah itu, pelepasan Imran dengan ikat jamin ketika tempoh pilihan raya akan memastikan ‘pilihan raya tulen’, sekali gus membolehkan rakyat menunaikan hak pilihan mereka secara berkesan dan bermakna.

“Tiada keadaan luar biasa untuk menolak ikat jamin,” menurut perintah itu. – REUTERS

Loading...
Terkini