comscore
Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] Jemaah Malaysia bergerak ke Arafah untuk berwukuf

 

Oleh: Azri Mukhlas

MAKKAH:  Perjalanan kemuncak ibadah haji menyaksikan seramai 31,600 jemaah  Malaysia mula bergerak ke Arafah secara berperingkat bermula jam 7 pagi waktu Arab Saudi untuk ibadah wukuf.

Sebanyak 21 bas disediakan bagi setiap maktab penginapan bagi membawa jemaah haji muassasah dalam tiga penggiliran perjalanan ke Arafah  yang terletak 22 kilometer dari Masjidil Haram.

Bas pertama yang membawa jemaah, meninggalkan maktab penginapan di Abraj Janadriyah pada jam 8 pagi.

Selain jemaah muassasah, 179 bas pula akan membawa jemaah yang mengikuti pakej oleh pengelola jemaah haji.

Antara yang berada dalam rombongan awal ke Arafah ialah Saedah Shamsuddin, 77, yang begitu teruja menantikan ketibaan hari wukuf untuk menyempurnakan rukun Islam kelima itu, sekalipun dirinya berkerusi roda.

“Seronoklah saya, kemuncak dah ni, lama dah menunggu”, katanya ketika ditemui media hari ini.

Berkongsi kegembiraan sama, seorang lagi jemaah haji Malaysia, Noor Azleni Awang, 39, berkata dia masih tidak percaya dapat mengerjakan haji musim ini.

 

Akuinya, peluang menyertai program sahabat maktab untuk membantu dan menyantuni tetamu Allah, sambil beribadah amatlah besar maknanya.

“Ini adalah peluang rasa macam tak percaya.

“Sebab ini adalah peluang sekali seumur hidup dapat menunaikan ibadah haji, dapat join sahabat dan berbakti untuk jemaah lain sambil beribadah”, kongsinya.

Seorang lagi jemaah, Muhammad Aiman Mat Ghani, 29, mengakui peluang berwukuf bersama-sama jutaan umat Islam di seluruh dunia akan dimanfaatkan sebaiknya untuk bermunajat dan berdoa kepada Yang Maha Esa.

“Untuk Arafah nanti kita banyak-banyak berdoa, minta keampunan supaya tahun ini Haji Mabrur untuk jemaah Malaysia”, katanya.

Sementara itu, 60 jemaah yang sedang mendapatkan rawatan di hospital dan memerlukan pemerhatian rapi akan digerakkan ke Arafah pada 9 Zulhijjah dengan  menggunakan bas khas yang diubahsuai menerusi program safari wukuf.

Jemaah akan bergerak untuk bermalam di Muzdalifah bermula jam 6.30 petang Selasa, sebelum melontar di Mina sehingga 13 Zulhijah.

Loading...
Terkini