comscore
Tumpuan :
Dunia

Mayat ditemui dalam dua beg pakaian di Jambatan Gantung Clifton UK

Jambatan Gantung Clifton di Bristol, England.- FOTO: Reuters

LONDON: Polis Britain melancarkan operasi bagi memburu suspek selepas mereka menemui sebuah beg mengandungi mayat di Jambatan Gantung Clifton di Bristol, England.

Polis berkata, mereka telah menerima laporan bahawa seorang lelaki bersama beg pakaian bertindak mencurigakan di atas jambatan pada waktu tengah malam.

Beg pakaian kedua juga ditemui berhampiran kawasan berkenaan. Beg pakaian itu dipercayai mengandungi mayat, kata Polis Avon dan Somerset dalam satu kenyataan, hari ini.

“Ini adalah insiden yang sangat membimbangkan dan saya menyedari sepenuhnya kebimbangan komuniti kita,” kata Pemangku Polis Bristol Komander Vicks Hayward-Melen.

“Keutamaan pihak polis ketika ini adalah untuk mencari lelaki yang membawa beg pakaian ke jambatan dan mengenal pasti si mati sebelum memaklumkan kejadian itu kepada waris mangsa,” katanya.

Katanya, pihak polis sudah berhubung dengan pemandu teksi yang membawa suspek berkenaan ke jambatan terbabit dan turut merampas kenderaan berkenaan.

Jambatan berkenaan ditutup sementara bagi tujuan siasatan dan memeriksa kawasan terbabit.

Jambatan gantung itu menjadi mercu tanda Bristol dan telah dibina berdasarkan reka bentuk oleh jurutera terkenal pada abad ke-19 Isambard Kingdom Brunel dan dibuka pada tahun 1864. – Reuters

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa

Loading...
Terkini