comscore
Tumpuan :
Dunia

[VIDEO] Perjanjian Damai Arab Saudi & Iran:  Impak besar ke atas geopolitik, ekonomi & dunia Islam

 

Oleh: Haniza Hanafiah

PETALING JAYA:  Perjanjian damai dimeterai di antara Arab Saudi dan Iran yang diterokai kuasa besar China pada 10 Mac lalu menjadi lembaran bersejarah di Asia Barat.

Ia satu perjanjian digelar ‘rampasan kuasa diplomatik’ oleh China yang menyatukan dua musuh ketat serantau itu yang menoktahkan hubungan diplomatik pada 2015

Walaupun tidak mendapat liputan menyeluruh media barat, namun ia dilihat membawa impak besar ke atas Asia Barat dan dunia amnya terutama dari segi geopolitik dan ekonomi selain kesan signifikan ke atas dunia Islam.

Menurut Pensyarah Fakulti Pengajian & Pengurusan Pertahanan, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia, UPNM Prof. Dr. Mohd Mizan Aslam, China secara tiba-tiba muncul dalam landskap politik di asia barat merealisasikan perjanjian damai itu untuk memulihkan keadaan, mewujudkan situasi yang lebih baik dan aman serta mengukuhkan perpaduan serantau.

Dengan terangkumnya dua kuasa besar di asia barat, arab saudi dan iran pada ketika ini, ia dilihat mampu memberikan mereka kekuatan untuk menguasai pasaran minyak global .

“Jadi apabila bergabung kedua-dua ini, mereka akan dapat menguasai pasaran minyak, dapat menetapkan harga minyak dan seterusnya dapat memberikan impak kepada negara mana mereka mahu mengeksport negara mana yang mereka tidak mahu eksport, negara mana yang mereka boleh berikan pada harga yang spesial ataupun tidak. Jadi ini sangat penting dan ini akan memberikan satu situasi yang berbeza berbanding sebelum ini.” katanya.

Tindakan diplomatik ini juga dilihat sebagai langkah bijak dan tepat untuk mengukuh kedudukan dengan negara blok ‘BRICS’ yang disertai Rusia, India, Brazil, China dan Afrika Selatan

Malah sudah ada cakap-cakap perdagangan antara negara – negara ini menggunakan mata wang lokal,  sekali gus mungkin akan menjejaskan penggunaan Dolar Amerika.

“Jadi apabila mereka ini bergabung ditambah juga dengan kekuatan China di sini dan juga yang saya sebutkan tadi BRICS mereka akan mempunyai kekuatan ekonomi yang amat dahsyat dan suara-suara, perancangan telah ditimbulkan untuk perdagangan tidak lagi menggunakan Dolar tapi mereka akan menggunakan mata wang lokal dan pada ketika ini yang menjadi pilihan adalah Yuan dan juga Ruble. Jadi di sinilah menunjukkan macam mana berlakunya perubahan geopolitik perubahan kuasa ekonomi dunia yang tidak lagi berpaksikan kepada barat tetapi sudah berpindah kepada Asia Timur.” katanya.

Malah ini kata beliau dijangka akan membawa yang impak besar ke atas dunia Islam.

Ditambah pula dengan Iran yang mempunyai kapasiti nuklear serta pengaruh besar politik yang dimiliki oleh Arab Saudi

“Tidak dapat dinafikan juga perjanjian ini pastinya dapat memberikan satu lagi kekuatan kepada dunia Islam . Jadi saya, saya melihat bahawa ini adalah satu detik yang tidak diingini oleh barat sebenarnya, jadi selama ini barat sebenarnya menunggang isu-isu di Asia Barat dan melagakan antara Iran dan juga Arab Saudi dan juga dalam isu-isu seperti di Iraq, di Syria dan lain-lain adalah atas kapasiti atas nama, sunni dan juga Syiah.” katanya

Dengan termeterainya perjanjian ini ia mungkin menjadi noktah kepada konflik berdarah di rantau asia barat seperti isu peperangan di Yemen melibatkan Puak Houthi disokong Iran dan juga kerajaan Yemen yang di belakangi oleh Arab Saudi

Peranan baharu China ini juga mungkin tidak akan disenangi oleh Amerika Syarikat dan sekutunya Israel yang akan memantau situasi ini dengan cukup teliti dan berpotensi menggugat polisi luar mereka.

Loading...
Terkini