comscore
Tumpuan :
Dunia

Pewaris Diraja Jordan nikah 1 Jun 

FOTO : Jordan’s Royal Family / Instagram

AMMAN: Perkahwinan pewaris Diraja Jordan, Putera Mahkota Al Hussein Abdullah bersama pasangannya Rajwa Al Saif pada 1 Jun ini dijangka menjadi tumpuan dunia.

Majlis pernikahan dan resepsi pasangan sama cantik sama padan itu dijangka dihadiri oleh kerabat diraja dan pemimpin dari seluruh dunia.

Pernikahan Hussein dan Rajwa dinantikan ramai selepas majlis perkahwinan penuh gilang-gemilang adindanya, Puteri Iman pada Mac lalu.

Raja Abdullah II dan Permaisuri Rania dari Jordan, ibu bapa pengantin lelaki bersedia menjadi tuan rumah kepada sekurang-kurangnya tujuh monarki asing.

FOTO : Jordan’s Royal Family / Instagram

Antara tetamu diraja yang telah mengesahkan kehadiran setakat ini ialah Raja Philippe dari Belgium yang turut disertai anak perempuan dan pewarisnya, Puteri Elisabeth.

Seorang lagi Puteri Mahkota yang dijangka hadir ke majlis bersejarah diraja itu ialah Puteri Catharina-Amalia dari Belanda yang akan menyertai ibu bapanya Raja Willem-Alexander dan Ratu Maxima.

Selain itu, Ratu Margrethe II dari Denmark, yang menghadapi masalah kesihatan sejak awal tahun ini, akan diwakili anak lelaki dan menantunya, Putera Mahkota Frederik dan Puteri Mahkota Mary.

Puteri Jepun Takamado akan hadir bersama anak perempuannya Puteri Tsuguko.

Putera Sebastien dari Luxembourg turut menerima jemputan.

Lebih ramai tetamu dijangka mengesahkan kehadiran menjelang hari pernikahan itu.

Menurut kenyataan istana, majlis perkahwinan akan diadakan di Istana Zahran.

Bagi meraikan perkahwinan diraja ini, satu konsert percuma akan diadakan di Stadium Antarabangsa Amman esok.

Loading...
Terkini