comscore
Tumpuan :
Dunia

Polis Thailand tahan suspek lelaki terbabit letupan bom di Yala

Kejadian letupan bom pada jam 10.10 pagi waktu tempatan di flat polis Bannang Sata itu menyebabkan 45 orang cedera. – FOTO: Reuters

YALA: Polis Thailand menahan seorang lelaki warga tempatan disyaki terbabit kes letupan bom kereta yang meragut satu nyawa di Yala, selatan Thailand, awal pagi kelmarin.

Ketua Polis Bannang Sata, Kolonel Polis Ranon Surawit berkata, lelaki berusia 27 tahun itu ditahan pada malam kelmarin berhampiran flat polis Bannang Sata.

“Kami berjaya menahan seorang suspek lelaki. Hasil siasatan mendapati suspek bertugas sebagai pegawai teknikal dengan Majlis Perbandaran Mukim Than To.

“Siasatan lanjut sedang dilakukan bagi mengenal pasti pembabitan suspek dengan kejadian bom itu,” katanya ketika dihubungi Bernama, semalam.

Beliau berkata, siasatan kes letupan bom itu masih berjalan dan suspek telah dihantar ke pusat di Kem Renger Ke-41 Wang Praya Raman untuk siasatan lanjutan.

“Kesemua mangsa yang cedera kini menerima rawatan di Hospital Bannang Sata, manakala usaha menjejaki individu dan kumpulan disyaki terbabit serangan itu masih berjalan,” katanya.

Sementara itu, Ranon berkata, wanita berumur 45 tahun yang maut dalam kejadian bom berkenaan dikenal pasti sebagai seorang warga Thailand yang bertugas sebagai guru tadika.

Kejadian letupan bom pada jam 10.10 pagi waktu tempatan di flat polis Bannang Sata itu menyebabkan 45 orang cedera, selain kerosakan kepada flat polis, rumah serta puluhan kenderaan. – BERNAMA

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini