comscore
Tumpuan :
Dunia

Presiden Korea Selatan akan hadiri sidang kemuncak NATO dan melawat Poland 

Foto Reuters

SEOUL : Presiden Korea Selatan Yoon Suk Yeol akan berlepas ke Lithuania pada Isnin untuk menghadiri sidang kemuncak Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) dan selepas itu akan mengadakan lawatan rasmi ke Poland, lapor Agensi Berita Yonhap.

Ini adalah kali kedua Yoon menghadiri sidang kemuncak NATO, menunjukkan komitmennya untuk membina perpaduan dan mempromosikan nilai, seperti kebebasan, hak asasi manusia dan kedaulatan undang-undang.

Sidang kemuncak itu berlangsung di Vilnius ibu negara Lithuania pada Selasa dan Rabu, bakal menghimpunkan pemimpin dari 31 negara anggota dan negara rakan, seperti Korea Selatan, Jepun, Australia dan New Zealand.

Antara topik perbincangan termasuk mengenai peperangan di Ukraine, kerjasama antara pakatan tentera dan wilayah Indo-Pasifik dan ancaman keselamatan.

Yoon dijadual mengadakan sekurang-kurangnya 10 pertemuan dua hala di luar sidang kemuncak itu, termasuk bertemu pemimpin Norway, Belanda, New Zealand, Romania, Lithuania, Sweden, Slovakia, Estonia, Finland dan Hungary.

Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO)

Beliau juga akan bertemu dengan Setiausaha Agung NATO Jens Stoltenberg.

Pertemuan Yoon dengan Perdana Menteri Jepun Fumio Kishida bakal menjadi tumpuan, susulan laporan pemerhati nuklear Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bahawa rancangan pelepasan air radioaktif terawat dari loji kuasa nuklear Fukushima dikatakan memenuhi piawaian keselamatan.

Ini merupakan lawatan dua hala pertama Yoon ke negara Eropah sejak memegang jawatan dan menjadi presiden Korea Selatan pertama yang melawat Warsaw secara rasmi sejak Lee Myung-bak pada 2009.

Mengenai spekulasi Yoon mungkin akan melawat Ukraine dan bertemu Presiden Volodymyr Zelenskyy, seorang pegawai presiden menyatakan setakat ini tiada rancangan sedemikian.

Yoon yang dijadual pulang pada Sabtu akan diiringi isteri Kim Keon Hee dan delegasi seramai 89 orang. – BERNAMA

Loading...
Terkini