comscore
Tumpuan :
Dunia

Putera Mateen, Dayang Anisha bersanding

Pengiran Muda Abdul Mateen Bolkiah bersama isterinya, Dayang Anisha Rosnah. FOTO: RTB

BANDAR SERI BEGAWAN: Majlis Istiadat Bersanding Pengantin Diraja Brunei, Pengiran Muda Abdul Mateen Bolkiah bersama isterinya, Dayang Anisha Rosnah berlangsung di Istana Nurul Iman di sini, pagi ini.

Upacara penuh tradisi diraja itu bermula jam 10.10 pagi.

Majlis dihadiri ramai tetamu diraja termasuk Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Pemaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

Putera Mateen dan Dayang Anisha diijabkabulkan dalam Majlis Istiadat Akad Nikah Diraja di Masjid Omar Ali Saifuddien di sini, pada tengah hari Khamis lalu.

Mateen adalah anak ke-10 kepada Sultan Brunei Sultan Hassanal Bolkiah, raja paling lama memerintah di dunia dan pernah menjadi orang terkaya di dunia.

Manakala pengantin perempuan adalah cucu kepada salah seorang penasihat utama ayahandanya dan dilaporkan mempunyai jenama fesyen serta memiliki perniagaan dalam sektor pelancongan.

Majlis Istiadat Bersanding Pengantin Diraja Brunei, Pengiran Muda Abdul Mateen Bolkiah bersama isterinya, Dayang Anisha Rosnah. FOTO: RTB

Mateen lulusan pegawai kadet di Akademi Tentera Diraja Sandhurst dan mewakili negaranya dalam sukan polo di Sukan SEA 2019.

Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, beliau memainkan peranan yang semakin meningkat dalam diplomasi antarabangsa.

Putera raja itu mengiringi bapanya ke pertabalan Raja Charles dan Ratu Camilla pada Mei tahun lalu dan pengebumian Ratu Elizabeth pada 2022.

Radio Televisyen Brunei (RTB) sebelum ini melaporkan istiadat perkahwinan pasangan diraja itu berlangsung selama 10 hari dan dimulakan dengan Majlis Istiadat Bersuruh Diraja, pada 7 Januari lalu.

Majlis Istiadat Akad Nikah Diraja pada 11 Januari, manakala acara kemuncak iaitu Majlis Bersanding Pengantin Diraja berlangsung di Istana Nurul Iman, hari ini.

Majlis Persantapan Diraja pula akan diadakan pada 15 Januari diikuti Majlis Istiadat Membaca Doa Selamat dan Menutup Gendang Jaga-Jaga pada 16 Januari.

|ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini