comscore
Tumpuan :
Dunia

Qatar masih berunding untuk sambung semula jeda kemanusiaan di Gaza

Foto: Reuters

KAHERAH: Qatar pada Jumaat berkata pihaknya masih meneruskan rundingan dengan Israel dan Palestin untuk menyambung semula jeda kemanusiaan di Gaza.

Dalam satu kenyataan, Kementerian Luar berkata Qatar kesal terhadap tentera penceroboh Israel yang meneruskan serangan terhadap Semenanjung Gaza susulan berakhirnya jeda kemanusiaan, tanpa mencapai persetujuan untuk melanjutkannya.

Kementerian itu mengesahkan bahawa “rundingan antara kedua-dua pihak diteruskan untuk mengembalikan jeda kemanusiaan.”

Qatar mengesahkan komitmennya bersama rakan pengantara untuk meneruskan usaha yang membawa kepada jeda kemanusiaan dan akan melakukan segala yang diperlukan untuk mengembalikan keamanan.

Kementerian itu menegaskan bahawa pengeboman berterusan di Semenanjung Gaza dalam tempoh beberapa jam pertama selepas tamat jeda, merumitkan usaha pengantaraan dan memburukkan lagi malapetaka kemanusiaan di wilayah itu.

Ia menyeru masyarakat antarabangsa bertindak segera untuk menghentikan keganasan.

Kementerian Kesihatan Palestin di Gaza mengumumkan sekurang-kurangnya 32 rakyat Palestin terbunuh dan beberapa lagi cedera dalam serangan udara Israel di Semenanjung Gaza yang dikepung dalam tempoh tiga jam selepas jeda kemanusiaan berakhir pada pagi Jumaat. – BERNAMA-ANADOLU

Loading...
Terkini