comscore
Tumpuan :
Dunia

Raja Thailand kurangkan hukuman Thaksin kepada setahun

BANGKOK: Raja Thailand, Raja Maha Vajiralongkorn berkenan mengurangkan tempoh hukuman penjara lapan tahun terhadap bekas Perdana Menteri Thailand, Thaksin Shinawatra, kepada setahun, menurut warta diraja yang dikeluarkan hari ini.

“Thaksin sudah mengakui kesalahan dan menyesali perbuatannya,” menurut dokumen berkenaan, yang turut menambah bahawa bekas Perdana Menteri itu kini kurang sihat.

Proses permohonan pengampunan di Thailand bermula dengan banduan mengemukakan permohonan kepada Menteri Kehakiman melalui Jabatan Pemulihan, dan Menteri kemudian memajukan permohonan itu kepada Perdana Menteri.

Artikel berkaitan : Thaksin boleh dapatkan pengampunan diraja

Seterusnya, Perdana Menteri akan mengemukakan permohonan itu kepada Majlis Privi untuk mendapatkan cadangan, dan akhirnya ia akan diserahkan kepada Raja Maha Vajiralongkorn.

Thaksin, 74, pulang ke Thailand pada 22 Ogos lalu selepas 15 tahun hidup dalam buangan.

Pada hari sama, Mahkamah Agung menjatuhkan hukuman penjara lapan tahun ke atas bekas Perdana Menteri itu atas pertuduhan rasuah.

Pada hari pertama di wad perubatan di Penjara Reman Bangkok, beliau dimasukkan ke Hospital Besar Polis kerana masalah kesihatan selepas mengadu mengalami sakit dada, darah tinggi, tahap oksigen dalam darah yang rendah dan insomnia.

Pegawai perubatan penjara berkata, Thaksin memerlukan pemantauan rapi.

Awal minggu ini, kumpulan anti-Thaksin membuat aduan kepada Jabatan Pemulihan bagi menentang cubaan Thaksin mendapatkan pengampunan diraja, atas alasan tidak sepatutnya ada pengampunan bagi kes rasuah kerana ia telah merosakkan tadbir urus dan reputasi negara dengan teruk.

Thaksin tiba di tanah air hanya beberapa jam sebelum Srettha Thavisin daripada Parti Pheu Thai memenangi undi di Parlimen untuk menjadi Perdana Menteri baharu Thailand.

Parti Pheu Thai yang disokong Thaksin, telah membentuk kerajaan campuran dengan 11 parti lain, termasuk dua parti pesaing, Parti Palang Pracharath (PPRP) dan United Thai Nation (UTN) yang ada hubungan dengan tentera.

Ini sekali gus mencetuskan spekulasi bahawa perjanjian telah dibuat untuk mengurangkan hukuman penjara ke atas Thaksin. – AGENSI

Loading...
Terkini