comscore
Tumpuan :
Dunia

Ribut di California ragut sekurang-kurangnya 20 nyawa

Foto: REUTERS

CALIFORNIA: Sekurang-kurangnya 20 maut, manakala puluhan ribu lagi kekal di bawah arahan pemindahan dalam kejadian ribut yang melanda California sejak akhir Disember lalu.

Gabenor Gavin Newsom berkata, arahan itu masih berkuat kuasa mengikut perintah eksekutif bagi mengukuhkan tindak balas negeri terhadap kerosakan akibat sembilan kejadian ribut yang berturut-turut membadai California sejak 26 Disember lalu.

Malah, aliran sungai dilapor mulai surut sejak kelmarin membolehkan kerja baik pulih jalan dan tebing sungai dilakukan sejurus pengumuman Rumah Putih berhubung rancangan Presiden Joe Biden untuk meninjau kerosakan.

Rumah Putih berkata, Biden dijangka meninjau lebuh raya pesisir pantai untuk bertemu mangsa, melawat bandar terjejas dan ‘menilai sokongan tambahan Persekutuan yang diperlukan’ esok.

Katanya, Presiden sudah mengeluarkan pengisytiharan tergempar untuk memberi bantuan Persekutuan pada 8 Januari lalu, diikuti kebenaran bantuan bencana bagi daerah Merced, Sacramento dan Santa Cruz pada Sabtu lalu.

Namun, setakat ini Rumah Putih masih belum mendedahkan kawasan yang akan dilawati Biden.

Sementara itu, ahli meteorologi dari Pusat Ramalan Cuaca Perkhidmatan Cuaca Kebangsaan, David Roth, berkata hujan terakhir yang lebih lebat di California secara perlahan berhenti, selain akan semakin reda selepas waktu tengah malam.

Perkhidmatan Cuaca Kebangsaan (NWS) pula memaklumkan, hampir 26 juta penduduk California diletakkan di bawah pengawasan banjir dengan puluhan ribu diberikan nasihat dan arahan untuk berpindah.

Semua mangsa yang dilaporkan terkorban antaranya membabitkan pemandu yang ditemui dalam kereta ditenggelami air, individu dihempap pokok tumbang dan sepasang suami isteri maut dalam runtuhan batu. – REUTERS

Loading...
Terkini