comscore
Tumpuan :
Dunia

Hospital di AS kembali pakai pelitup muka

FOTO: Reuters

NEW YORK: Peningkatan kes COVID-19, selsema bermusim dan penyakit pernafasan lain menyaksikan hospital di empat negeri di Amerika Syarikat (AS) mewajibkan pemakaian pelitup muka semula.

Kemudahan penjagaan kesihatan di New York, California, Illinois dan Massachusetts sudah mewajibkan pelitup muka dalam kalangan pesakit dan pembekal.

Pesuruhjaya Kesihatan New York City, Dr Ashwin Vasan memaklumkan pada Rabu,  bahawa mandat pemakaian pelitup muka disambung semula di semua 11 hospital awam di bandar itu, 30 pusat kesihatan dan lima kemudahan penjagaan jangka panjang.

Data mingguan terbaharu daripada Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit menunjukkan terdapat lebih 29,000 kemasukan ke hospital akibat COVID-19 di seluruh AS dari 17 hingga 23 Disember, meningkat lebih 16 peratus daripada minggu sebelumnya.

Ada juga laporan,  lebih 14,700 kemasukan ke hospital akibat selesema dalam tempoh yang sama.

Pemakaian pelitup muka yang diwajibkan ketika pandemik COVID-19 dilihat sebagai keputusan politik, mencetuskan kemarahan dalam kalangan mereka yang menolak nasihat perubatan dan berasakan pelitup muka tidak banyak membantu untuk menyekat penyebaran wabak itu.

Terdapat juga kemarahan  dalam kalangan mereka yang memakai pelitup muka dan berasakan kesihatan mereka terancam oleh mereka yang tidak memakai pelitup muka.

Lebih 1.1 juta rakyat Amerika meninggal dunia akibat COVID-19,  kadar yang lebih tinggi daripada kebanyakan negara kaya lain.

Loading...
Terkini