comscore
Tumpuan :
Dunia

Seorang anggota BRN maut dalam insiden berbalas tembakan

Foto: Pasukan keselamatan Thailand mengepung sebuah rumah di mana suspek anggota BRN bersembunyi

Oleh Tuan Daniya Meringing

Yala: Polis Thailand mengesahkan seorang suspek disyaki anggota Barisan Revolusi Nasional (BRN) maut dalam operasi mengepung sebuah rumah di Kampung Mayo daerah Thanto, di sini sejak jam 4:30 pagi tadi waktu tempatan.

Lebih 100 anggota keselamatan Thailand ke lokasi selepas menerima maklumat risikan bahawa seorang suspek bersembunyi di rumah tersebut.

Sebelum berbalas tembakan, pasukan keselamatan cuba memujuk suspek menyerah diri menerusi ketua kampung dan imam tetapi gagal.

Pada jam 5:45 pagi suspek melepaskan tembakan untuk cuba melarikan diri, namun suspek ditembak mati di luar rumah.

Ketua Polis Daerah Thanto, Thanapon Yaowapak berkata, pemeriksaan ke atas mayat mendapati suspek dikenali sebagai Ibarahim Saleh 42 tahun, berasal dari Kampung Ban Rai.

Polis menemui sepucuk pistol .9mm berdekatan mayat.

Hasil siasatan, suspek adalah anggota BRN yang aktif di kawasan Thanto dan Bannang Sata, Yala.

Suspek didakwa pernah melakukan serangan bom di stesen minyak di Thanto.

Dua hari sebelum itu, suspek disyaki membakar kenderaan syarikat lebuh raya Yala di Bannang Sata dan mendalangi pengeboman yang menyebabkan seorang ketua polis maut pada 17 Februari lalu.

Tambahnya, suspek juga mempunyai waran tangkap berhubung kes pengeboman di selatan Thailand.

Loading...
Terkini