comscore
Tumpuan :
Dunia

Wanita didakwa bunuh sekurang-kurangnya 12 orang dengan racun

Foto hiasan

BANGKOK: Polis Thailand menahan seorang wanita yang disyaki membunuh secara terancang sekurang-kurangnya 12 orang dengan racun sianida.

Wanita berusia 36 tahun yang dikenali sebagai Sararat Rangsiwuthaporn, sedang hamil empat bulan telah ditahan di Bangkok pada Selasa berikutan siasatan mengenai kematian seorang wanita baru-baru ini.

Ketua Polis Thailand, Pol Gen Damrongsak Kittipraphat berkata, polis percaya mungkin terdapat lebih ramai mangsa.

“Satu bilik gerakan akan ditubuhkan oleh Biro Polis Wilayah 7 untuk memudahkan orang ramai membuat laporan,” katanya pada sidang media di sini pada Khamis.

Beliau berkata bekas suami suspek yang merupakan pegawai polis dan kakaknya seorang ahli farmasi akan dipanggil untuk disoal siasat.

Sementara itu, Timbalan Komander Bahagian Pencegah Jenayah (CSD), Pol Kol Anek Taosupap berkata, polis mendapatkan keterangan daripada dua individu penting dalam kes itu, seorang daripadanya mangsa yang dilaporkan terselamat daripada cubaan meracun yang dilakukan suspek.

“Selain pertuduhan pembunuhan terancang, polis akan mengenakan pertuduhan tambahan termasuk niat mencuri harta benda, meracun dan mencuri,” katanya.

Terdahulu, ibu dan kakak kepada mendiang Siriporn Khanwong dari Kanchanaburi memfailkan aduan yang membawa kepada penahanan suspek.

Siriporn telah menemani suspek untuk upacara merit, amalan Buddha yang penting, pada 14 April dan kemudiannya rebah dan mati di tebing sungai Mae Klong di Ban Pong di Ratchaburi.

Keluarga mangsa mengesyaki kemungkinan adanya perbuatan khianat memandangkan anak mereka membuat perjalanan bersama suspek pada awal bulan ini. – BERNAMA

Loading...
Terkini