comscore
Tumpuan :
Nasional

Pelajar, pegawai UPSI terpilih sebagai ‘Qari-in-Residence’ di Universiti of Oxford dan Education Malaysia Australia

Timbalan Naib Canselor (HEPA) UPSI, Prof. Dr. Norkhalid Salimin (tiga dari kanan) bersama Muhammad Majdan (empat dari kiri), Ikram Hakim dan Nasrul Zikri semasa majlis penyerahan replika tiket penerbangan di Masjid Al-Mursyidin, Pusat Islam, Kampus Sultan Azlan Shah. FOTO: Ihsan UPSI

TANJUNG MALIM: Dua pelajar tahfiz dan seorang pegawai membanggakan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) apabila terpilih dalam Program ‘Qari-in-Residence’ di Universiti of Oxford, United Kingdom dan di Education Malaysia Australia pada bulan Ramadan ini.

Naib Canselor, Prof. Datuk Dr. Md Amin Md Taff berkata, menerusi kerjasama Program Education Mobility Malaysia-United Kingdom-Australia, mereka akan menjadi tenaga pengajar agama dan Imam Solat Tarawih di Pusat Pengajian Islam Oxford (OXCIS) United Kingdom, Dewan Malaysia Sydney dan Dewan Malaysia Melbourne, Australia sepanjang bulan Ramadan tahun ini.

Selain itu, katanya, ketiga-tiga warga UPSI ini akan membabitkan diri dalam pelbagai program pendidikan, penyelidikan, pemindahan pengetahuan dan khidmat komuniti yang akan memberi nilai tambah kepada pelajar dan pegawai.

Beliau berkata, pihaknya percaya program tersebut bakal melahirkan golongan huffaz profesional yang bersifat global, melangkaui bilik darjah, dan mampu mengangkat martabat al-Quran dari semua sudut.

“Saya menzahirkan rasa syukur dan bangga kerana ini adalah satu pencapaian dan pengiktirafan Universiti of Oxford, universiti terbaik dunia dan pejabat Education Malaysia Australia kepada UPSI dan Malaysia”, ujar Datuk Dr Md Amin.

Beliau berharap ketiga-tiga wakil UPSI ini dapat menjadi contoh dan melaksanakan tugas dengan cemerlang sepanjang berada di sana.

Sementara itu, Felow Pengajian Islam di Universiti Oxford, Datuk Dr. Afifi Al-Akiti melahirkan rasa syukur atas kejayaan merealisasikan program itu.

“Alhamdulillah, program Oxford ini adalah di bawah naungan Raja Permaisuri Perak selaku Canselor UPSI. Sebelum ini Imam-imam yang terpilih untuk ke luar negara adalah daripada kalangan huffaz kelolaan JAKIM. Manakala untuk tahun ini penghormatan diberikan kepada kalangan hufaz dari UPSI,” katanya.

Ikram Hakim Mat Nasir dan Nasrul Zikri Mohd Nazri di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur sebelum berlepas ke United Kingdom dan Australia Isnin lalu. FOTO: Ihsan UPSI

Dua pelajar berkenaan dari program pengajian Ijazah Sarjana Muda Tahfiz Al-Quran dan Qira’at dengan Pendidikan di bawah Fakulti Sains Kemanusiaan ialah Ikram Hakim Mat Nasir yang akan menjadi ‘Qari-in-Residence 1445H’ di Pusat Pengajian Islam Oxford, United Kingdom; Nasrul Zikri Mohd Nazri di Dewan Malaysia Melbourne, Australia manakala Pegawai Tadbir Pusat Islam UPSI, Muhammad Majdan Ismail, akan ditempatkan di Dewan Malaysia Sydney, Australia.

Sementara itu Timbalan Naib Canselor (HEPA) UPSI, Prof. Dr. Norkhalid Salimin yang menyampaikan replika tiket penerbangan di Pusat Islam UPSI, Kampus Sultan Azlan Shah berkata, selain menjadi tenaga pengajar di sepanjang Ramadan, mereka juga akan berperanan sebagai duta kecil UPSI dan Malaysia di sana.

“Selain itu, mereka berpeluang untuk menyertai program-program dakwah kepada komuniti Islam setempat”, ujar beliau.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini