comscore
Tumpuan :
Dunia

Tentera Ukraine Tawan Semula Bandar Lyman Dalam Wilayah Ditakluki Russia

Foto: Reuters

KYIV: Tentera Ukraine mula memasuki ke bandar Lyman di timur wilayah Donestsk, yang juga satu daripada empat wilayah yang Russia isytihar miliknya Jumaat lalu.

Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky, berkata pihaknya bertekad akan ‘merempuh’ lebih banyak kawasan dalam empat wilayah berkenaan dalam masa terdekat.

“Sepanjang minggu ini, lebih banyak bendera Ukraine berjaya dikibarkan di Donbas…akan ada lebih banyak lagi dalam tempoh seminggu ini,” katanya melalui ucapan di sini.

Dalam perkembangan terbaru itu, serangan balas Kyiv selama seminggu terhadap pencerobohan Moscow berlaku ketika menteri pertahanan Jerman membuat lawatan mengejut ke Ukraine.

Ia juga berlaku ketika Russia berdepan tuduhan membunuh 24 orang awam di rantau timur Kharkiv.

Penawanan semula bandar Lyman menandakan kemenangan pertama tentera Ukraine di wilayah yang didakwa adalah milik Kremlin, malah ia cuba dipertahankan tentera Moscow selama berminggu-minggu sebelum ini.

Kementerian Pertahanan Ukraine mengesahkan tenteranya sudah memasuki Lyman di timur wilayah Donetsk selepas berjaya mengepung ribuan tentera Russia berhampiran bandar itu.

Malah, kementerian itu turut menyiarkan sebuah video yang memaparkan tentera Ukraine memegang bendera negara berkenaan berhampiran papan tanda bandar terbabit.

Susulan pengumuman Ukraine mengenai penawanan semula tenteranya di bandar Lyman, Kementerian Pertahanan Russia mengesahkan negara itu meminta tentera mereka berundur dari bandar terbabit ke kawasan lain yang dipersetujui.

Sementara itu, pakar memberi amaran bahawa Presiden Russia, Vladimir Putin, dijangka menggunakan senjata nuklear untuk mempertahankan wilayah ditaklukinya susulan kerugian yang ditanggung semakin tinggi.

Pemimpin Republik Chechnya, Ramzan Kadyrov, berkata Russia dijangka akan mempertimbangkan untuk menggunakan senjata nuklear berkuasa rendah selepas tentera Moscow dipaksa keluar dari Lyman.

“Pada pendapat saya, tindakan lebih drastik perlu diambil termasuk pengisytiharan undang-undang tentera di kawasan sempadan dan penggunaan senjata nuklear kuasa rendah,” katanya di saluran Telegram.

Kadyrov mentadbir Republik Chechnya yang majoriti penduduknya adalah beragama Islam di Russia secara kuku besi.

Perkembangan itu berlaku sehari selepas Putin mengadakan upacara besar-besaran bagi meraikan penaklukan empat wilayah Ukraine iaitu, Donetsk, Luhansk, Zaporizhzhia dan Kherson. – AFP

Loading...
Terkini