comscore
Tumpuan :
Jenayah

Lelaki seludup, edar dadah di Melaka ditahan

Sebahagian dadah yang dirampas polis susulan penahanan seorang lelaki di Ayer Keroh Ahad lalu. – FOTO: Ihsan IPK Melaka.

MELAKA: Polis menahan seorang lelaki disyaki terbabit dalam sindiket penyeludupan dan pengedaran dadah termasuk cecair vape mengandungi ganja di negeri ini.

Suspek berusia 45 tahun ditahan bersama dadah jenis ganja seberat 41.28 kilogram dan 300 unit cecair ganja dianggarkan bernilai RM130,971 oleh sepasukan pegawai dan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman bersama JSJN Melaka di kawasan rehat dan rawat (R&R) Ayer Keroh, arah selatan, Lebuh Raya Utara Selatan, kira-kira jam 1.35 tengah hari Ahad lalu.

Ketua Polis Melaka, Datuk Wira Zainol Samah, berkata hasil risikan dijalankan polis mendapati sindiket terbabit mula aktif sejak awal 2023.

“Semua dadah yang dirampas itu dipercayai boleh digunakan seramai 206,405 penagih,” katanya dalam kenyataan, semalam.

Zainol berkata, semakan rekod dijalankan mendapati suspek yang bekerja sebagai penghantar barang itu mempunyai satu rekod dadah lampau mengikut Seksyen 15(1) (a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan ujian saringan air kencingnya adalah negatif.

“Suspek direman tujuh hari bermula hingga Sabtu ini ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B ADB 1952,” katanya.

Beliau berkata, polis Kontinjen Melaka sentiasa berharap masyarakat dapat terus menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti pengedaran dadah di kawasan masing-masing.

Katanya, maklumat juga boleh disalurkan melalui talian hotline JSJN di talian 012-2087222.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini