comscore
Tumpuan :
Hiburan

Hazama, Khai Bantu Perangi Sindiket Penipuan Dalam Talian

FOTO: Berita Harian

KUALA LUMPUR: Dua penyanyi popular, Hazama dan Khai Bahar ikhlas memikul tugas sebagai duta antiscam kerana tidak mahu lebih ramai rakyat Malaysia terkena dengan sindiket penipuan dalam talian.

Hazama berkata, dia dan keluarga hampir menjadi mangsa ‘scammer’.

“Saya ikhlas memikul tanggungjawab ini. Kami dikehendaki memuat naik bahan yang dihantar PDRM ke akaun media sosial, itu sahaja.

“Walaupun jumlah pengikut laman sosial tidak seberapa, sedikit sebanyak dapat sebarkan sesuatu yang baik dan bermanfaat.

“Saya harap lebih ramai selebriti terbabit dengan kempen ini agar dapat membuka mata masyarakat,” katanya kepada BH Online.

Hazama berharap, pelantikan dirinya sebagai duta antiscam dapat membantu masyarakat dan memerangi kes penipuan dalam talian.

“Saya sangat simpati lebih-lebih lagi ramai yang menjadi mangsa sudah berusia terutama pesara,” katanya.

Sementara itu, penyanyi, Khai Bahar menganggap pemilihannya sebagai duta antiscam sebagai suatu penghormatan.

Khai mahu menggunakan platform media sosial untuk mengingatkan pengikut agar tidak mudah tertipu dengan sindiket berkenaan.

“Sebagai salah seorang duta antiscam, saya akan ingatkan pengikut mengenai bahayanya jenayah itu.

“Pada masa sama, dapat mengelak mereka daripada menanggung kerugian teruk sehingga mengalami tekanan mental.

“Inilah masa untuk pempengaruh media sosial, artis dan ahli sukan membantu PDRM mengurangkan jenayah yang kian berleluasa.

“Kita perlu sama-sama berdoa agar orang tua atau keluarga terhindar daripada sindiket penipuan dalam talian dan perlu saling mengingati,” katanya.

Selain Hazama dan Khai Bahar, seramai 104 Pemimpin Pendapat Utama (KOL) merangkumi artis, usahawan, agamawan, pegawai polis, pempengaruh serta atlet dilantik sebagai duta antiscam.

Antara selebriti yang turut dilantik adalah Datuk Awie, Haqiem Rusli, Wany Hasrita, Syamel, Ernie Zakri, Sara Ali, Diana Danielle, Nabila Razali, Aedy Ashraf, Pablo Amirul dan ramai lagi.-BERITA HARIAN

Loading...
Terkini