comscore
Tumpuan :
Hiburan

Jangan tiru aksi menyanyi tergantung, terbalik – Naim Daniel

Naim menjelaskan aksinya menyanyi secara tergantung dan terbalik adalah atas kapasiti persembahan profesional yang dipantau sepenuhnya. FOTO : Naim Daniel / INSTAGRAM

KUALA LUMPUR: Penyanyi dan pelakon, Naim Daniel menasihatkan orang ramai tidak meniru aksinya di pentas Anugerah Juara Lagu (AJL) Ke-37, iaitu menyanyi dalam keadaan tergantung dan terbalik.

Dia bimbang kerana baru-baru ini, aksinya nyanyiannya itu menjadi ikutan.

Justeru, Naim menasihatkan orang ramai tidak meniru aksi terbabit dengan sewenang-wenang tanpa mendapat pengawasan pakar.

“Sebelum ini, saya ada nampak video individu menyanyi secara terbaik (kaki ke atas dan kepala di bawah) di pusat karaoke menerusi aplikasi TikTok.

“Usahlah menyanyi terbalik, risau sungguh saya tengok aksi itu. Saya tidak galak aksi itu ditiru tanpa pengawasan individu profesional.

“Kalau hendak buat, itu risiko diri sendiri. Saya datang (beraksi) atas kapasiti persembahan profesional.

“Sebelum melakukannya, saya dapatkan nasihat doktor. Selain itu, tahap pernafasan dipantau dan anggota paramedik ditugaskan untuk berjaga-jaga,” katanya.

Sebagai selebriti, Naim atau nama sebenar, Muhammad Naim Daniel Baharin, 26, mengaku sangat berhati-hati terhadap kandungan media sosial miliknya.

“Sebagai figura awam, saya tahu apa yang kita buat akan dijadikan contoh. Perkara itu (nyanyi dalam posisi terbalik) sudah berlaku apabila ada pihak meniru.

“Apabila perkara itu berlaku, saya tidak anggap ia sesuatu yang menarik untuk saya ‘repost’ (ulang siar) dalam media sosial.

“Lagipun, pengikut media sosial saya ada dalam kalangan kanak-kanak. Jadi, saya kena pantau sebeum muat naik hantaran,” katanya pada majlis Serlahan Seni Budaya anjuran Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) 2023 di Menara Kuala Lumpur, Khamis lalu.

Tampil mengenakan baju Melayu cekak musang rona hitam, Naim menghiburkan tetamu dengan dua lagu iaitu Sumpah dan Mainan, pada majlis itu.

Sementara itu, mengulas ura-ura persembahannya pada malam kemuncak AJL37 bakal mendapat pengiktirafan Malaysia Book of Records (MBR), Naim berkata, dia masih menunggu perkembangan terkini dari organisasi terbabit.

“Mereka baru minta maklumat terperinci mengenai persembahan saya itu, minggu lalu. Saya masih tunggu keputusannya,” katanya.

Loading...
Terkini