comscore
Tumpuan :
Hiburan

Nombor giliran prajualan tiket konsert Taylor Swift di Singapura cecah sejuta

Foto: Taylor Swift / Instagram

Oleh Mimi Azeera Abdullah 

PETALING JAYA: Tiket prajualan konsert Taylor Swift di Singapura habis dijual dalam tempoh tiga jam semalam, dengan lebih sejuta nombor giliran dikeluarkan.

Penganjur, AEG Presents Asia mengumumkan di Twitter sekitar jam 3 petang, bahawa tiket prajualan untuk ahli kad UOB bagi kesemua enam persembahan Swift  di Singapura telah habis dijual.

Bagaimanapun, mereka yang telah menerima kod akses daripada pengedar tiket, Ticketmaster masih boleh membeli tiket selebihnya, ketika penjualan am bermula tengah hari esok.

Pembelian tiket prajualan konsert itu terbuka kepada ahli kad UOB sahaja, bermula tengah hari Selasa.

Tetapi dalam tempoh kira-kira lima minit, pelanggan telah menerima nombor giliran dalam anggaran satu juta.

Sejam sebelum prajualan UOB bermula, ramai yang merungut tentang isu teknikal di laman web Ticketmaster.

Pelanggan yang cuba log masuk selepas 11 pagi menerima mesej ‘error: Rate exceeded’ di skrin mereka.

Keadaan sama berlaku kepada pelanggan lain yang berjaya memasuki halaman pembayaran, selepas memilih tiket.

Swift akan mengadakan konsert dengan enam persembahan di Stadium Nasional Singapura pada 2 hingga 4 Mac 2024 dan 7 hingga 9 Mac 2024.

Republik itu adalah satu-satunya venue konsert jelajah ‘The Era’s Tour’ di Asia Tenggara.

Terdahulu, sambutan yang sama juga berlaku bagi tempahan tiket konsert kumpulan Coldplay di Singapura.

Pada 22 Jun, lebih sejuta nombor giliran maya telah dikeluarkan untuk Coldplay, dengan ramai yang mengatakan mereka tidak pernah menerima nombor giliran setinggi itu sebelum ini.

Loading...
Terkini