comscore
Tumpuan :
Hiburan

Risiko Penggiat Industri Hiburan Hilang Pendengaran 4 Kali Lebih Tinggi

Kuala Lumpur: Penggiat industri hiburan terutama mereka yang terdedah kepada bunyi kuat berpotensi mengalami kehilangan pendengaran empat kali lebih tinggi berbanding mereka yang bekerja dalam bidang lain.

Pengarah Pemasaran dan Operasi Global Hearing Care Centre (GHCC), Lyn Ooi berkata, itu risiko dihadapi penggiat seni jika mereka tidak menitikberatkan soal penjagaan pendengaran.

Beliau berkata, sudah sampai masanya masyarakat memandang berat mengenai tahap pendengaran dan kondisi kesihatan telinga mereka kerana ia berbeza dengan mata.

“Kami memilih memfokuskan pada penggiat seni hiburan khususnya mereka yang lebih kerap terdedah pada bunyi yang kuat.

“Terdapat beberapa ujian yang akan dibuat untuk memastikan mereka tidak mengalami sebarang gangguan pendengaran atau kerosakan pada gegendang telinga dan jika ya, seberapa teruk kerosakan yang mereka alami.”

Jika ada antara penggiat seni yang dikesan mengalami masalah pendengaran serius, pihak Global Hearing Care Centre berbesar hati untuk memberikan tajaan alat bantu dengar bagi membantu mereka mendengar dengan lebih jelas dan secara tidak langsung, menyokong kelangsungan mereka dalam berkarya,” katanya.

Terdahulu, pusat rehabilitasi pendengaran itu menganjurkan Global Hearing Care Centre – Hearing Screening With The Stars bersama penggiat industri hiburan terpilih yang terdiri daripada penyanyi, komposer, juruhebah radio dan jurutera bunyi tanah air di sini, baru-baru ini.

Majlis itu bertujuan memupuk kesedaran dalam kalangan penggiat industri hiburan agar menitikberatkan penjagaan kesihatan telinga selain mengenalpasti sama ada mereka mengalami sebarang masalah pendengaran melalui sesi ujian dikendalikan oleh barisan pakar audiologi pusat itu.

Antara yang hadir ialah penyanyi kelahiran Sarawak, Zee Avi yang berkongsi mengenai kisahnya yang berdepan dengan masalah kehilangan pendengaran.

Selain itu, penyanyi Jaclyn Victor, Dina Nadzir, Atilia Haron, Mimi Fly, Ella, Elvira Arul dan komposer Sharon Paul. – HARIAN METRO

Loading...
Terkini