comscore
Tumpuan :
Dunia Seni

Search sedia ganjaran kepada peminat yang tunjuk jari berdakwat 12 Ogos ini

Search akan memaparkan kehebatan pukulan dram anggota baharu, Naimi Daini dalam Konsert Fantasia Bulan Salju pada 12 Ogos ini. – Foto Ihsan Search

KUALA LUMPUR: Walaupun 12 Ogos telah dipilih sebagai tarikh Pilihan Raya Negeri (PRN) yang membabitkan enam negeri, namun penganjuran Konsert Fantasia Bulan Salju pada tarikh yang sama oleh kumpulan ikonik legenda, Search tidak akan ditunda.

Pertembungan tarikh itu bukan sahaja menimbulkan keresahan dalam kalangan peminat yang datang dari seluruh Malaysia, malah kumpulan ikonik itu bimbang dituduh tidak prihatin terhadap situasi negara.

Biarpun lokasi Konsert Fantasia Bulan Salju di Arena of Stars, Genting Highlands, Pahang tidak terbabit dalam PRN, namun ia tetap menjadi kekangan buat peminat negeri lain.

Menyedari kesulitan yang bakal timbul, vokalisnya, Datuk Amy berkata, konsert tetap akan diteruskan berikutan banyak risiko menanti jika ditunda kepada tarikh lain.

“Pemilihan tarikh konsert dibuat lebih awal iaitu sebelum tarikh PRN diumumkan. Selepas berbincang dengan penganjur, kami putuskan untuk teruskan pada tarikh 12 Ogos ini.

“Kalau nak tunda kepada tarikh lain, ia akan menyusahkan banyak pihak, terutama peminat yang datang dari jauh, termasuk enam negeri yang terbabit dalam PRN.

“Peminat Search datang dari seluruh Malaysia termasuk Sabah, Sarawak, Singapura dan London. Mereka sanggup datang bersama keluarga untuk melancong, sambil menonton konsert dan sudah menempah bilik penginapan.

“Jika ditunda ke tarikh lain, ia juga akan membabitkan peningkatan kos dari segi penginapan dan kami tak mahu menyusahkan peminat,” katanya kepada BH Online.

Selain Amy, Search turut dianggotai Nasir Daud, Hillary Ang dan Man Kidal, selain dua pemuzik undangan, Arthur Kam dan Naimi Daini.

Bagi menggalakkan peminat Search menjalankan tanggungjawab sebagai rakyat Malaysia, pemilik nama sebenar Suhaimi Abdul Rahman itu memberitahu, ada kejutan menanti peminat enam negeri yang terbabit dengan PRN pada hari konsert.

“Kalau boleh kami mahu peminat Search tunai tanggungjawab mengundi sebelum datang ke konsert. Sehubungan itu, kami ingin memberikan ganjaran kepada peminat yang keluar mengundi.

“Syaratnya, mereka hanya perlu tunjuk jari berdakwat sebagai tanda menunaikan tanggungjawab sebagai rakyat Malaysia di kaunter pendaftaran. Pemenang bertuah dipilih berdasarkan siapa cepat dia dapat. Maklumat lanjut ganjaran ini akan diumumkan pada Jumaat ini, sehari sebelum konsert berlangsung.

“Justeru, kepada peminat Search, keluarlah mengundi awal supaya perjalanan ke Genting Highlands menjadi lebih mudah,” nasihat Amy.

Sementara itu, berkongsi persediaan menjelang konsert itu, Amy memaklumkan, persiapan Search sudah memasuki fasa akhir.

“Ketika ini, sudah 80 peratus persiapan dilakukan. Kami memang giat berlatih di studio sebelum ke Genting Highlands. Setakat ini, kami sangat berpuas hati dengan keseluruhan perjalanan konsert ini.

“Terdapat tiga segmen dalam konsert ini. Segmen pertama, saya akan tampilkan Arthur sebagai pemain dram.

“Koleksi lagu segmen kedua lebih romantik bersesuaian dengan nama Konsert Fantasia Bulan Salju. Untuk segmen kedua ini, kebanyakan lagu yang dinyanyikan akan memaparkan kehebatan pukulan dram anggota baharu kami, Naimi. Dia ada ‘groove’ tersendiri dan punya keserasian dengan anggota Search terutama Nasir.

“Keserasian ini akan membuatkan persembahan Search menjadi lebih mantap. Selain menghiburkan peminat, konsert ini akan menghadiahkan pengalaman baharu kepada mereka.

“Saya tak boleh nak cerita panjang, tunggu sahaja malam konsert,” ujar Amy yang mahu berahsia.

Harga tiket konsert yang dibawakan khas oleh MIC Entertainment Group ini adalah RM128 hingga RM388.

Pembelian boleh dibuat menerusi laman web rwgenting.com dan my.bookmyshow.com

Konsert ini diinspirasi daripada lagu popular Search berjudul Fantasia Bulan Madu.

Ia juga bersifat eksperimentasi. Ada bentuk teater dan mengimbau kembali perjalanan Search sepanjang 40 tahun.

Loading...
Terkini