comscore
Tumpuan :
Info

WHO Kaji Perubahan Genetik Cacar Monyet

GENEVA: Kajian sedang dilakukan untuk melihat sama ada perubahan genetik pada virus cacar monyet boleh mempercepatkan penularan penyakit itu, kata Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) kepada AFP.

Dua klad atau varian berlainan virus itu kini dipanggil klad Lembangan Congo (Afrika Tengah) dan klad Afrika Barat, dinamakan sempena dua wilayah yang masing-masing adalah habitat endemik cacar monyet.

Pada Jumaat lalu, WHO menamakan semula kumpulan itu masing-masing sebagai Klad I dan Klad II, untuk mengelakkan risiko stigma geografi dan kemasyarakatan.

Ia juga mengumumkan bahawa Klad II mempunyai dua subvarian, IIa dan IIb, dengan virus dalam subvarian itu dikenal pasti sebagai punca di sebalik wabak global semasa.

Kelmarin, agensi kesihatan PBB itu menyatakan Klad IIa dan IIb adalah berkaitan dan berkongsi sejarah sama, dalam erti kata lain, IIb bukan cabang IIa.

Klad IIb mengandungi virus yang dikumpul pada 1970-an, dan dari 2017 dan seterusnya.

“Melihat melalui genom, sememangnya terdapat beberapa perbezaan genetik antara virus wabak semasa dan virus Klad IIb yang lebih tua.

“Namun, tiada apa yang diketahui tentang kepentingan perubahan genetik ini, dan penyelidikan sedang dijalankan untuk menentukan kesan (jika ada) mutasi ini terhadap penularan dan betapa seriusnya penyakit ini.

“Masih agak awal dalam kedua-dua faktor wabak dan kajian makmal untuk mengetahui sama ada peningkatan jangkitan sekarang didorong oleh perubahan genotip yang dilihat pada virus, atau disebabkan oleh faktor perumah (manusia),” kata WHO kepada AFP.

Juga belum ada maklumat apa kesan sebenar berkaitan mutasi dari segi cara virus itu berinteraksi dengan tindak balas imun manusia.

Lonjakan jangkitan cacar monyet telah dilaporkan sejak awal Mei di luar negara Afrika yang endemik.

WHO mengisytiharkan keadaan sebagai kecemasan kesihatan awam antarabangsa pada 23 Julai dan setakat ini, lebih 35,000 kes di 92 negara selain 12 kematian dilaporkan kepada WHO.

Hampir semua kes baru dilaporkan dari benua Eropah dan Amerika. Pakar sedang mengkaji sampel daripada kes itu.

Sementara itu, WHO berkata usahanya mahu menamakan semula cacar monyet mungkin mengambil masa ‘beberapa bulan’.

Pertubuhan itu selama berminggu-minggu menyuarakan kebimbangan mengenai syor pertukaran nama itu, dengan pakar bimbang ia akan mengelirukan.

Cacar monyet diberi namanya kerana virus itu pada asalnya dikenal pasti dalam monyet yang disimpan bagi tujuan penyelidikan di Denmark pada 1958.-AFP

Loading...
Terkini