comscore
Tumpuan :
Isu

“Mana Pergi Besi Penutup Longkang?”

FOTO: NSTP

ALOR SETAR: Besi penutup longkang yang kerap hilang di kawasan Kuala Kedah menimbulkan kebimbangan orang ramai kerana ia boleh mengundang bahaya.

Tinjauan di sekitar pekan Kuala Kedah mendapati, beberapa besi penutup longkang hilang terutama di hadapan Terminal Jeti Feri Kuala Kedah.

Sebagai langkah berjaga-jaga, longkang itu ditutup dengan kayu oleh individu di kawasan terbabit.

Bagaimanapun, ada juga yang masih terbuka malah di sesetengah tempat penutup longkang konkrit dilihat pecah.

Penduduk tempatan, Abdul Karim Ariffin, 39, berkata, kejadian kecurian membabitkan besi penutup longkang memang kerap berlaku di kawasan itu.

Katanya, walaupun ia diganti baru, namun kecurian tetap berlaku dan ia menyusahkan semua pihak.

“Jika tidak perasan, sudah tentu ada yang terjatuh ke longkang. Saya berharap ia dapat digantikan dengan besi penutup longkang yang lebih kukuh untuk mengelak kecurian.

“Selain itu, penutup longkang konkrit yang rosak juga perlu diganti baru bagi mengelakkan ada yang terpijak dan terjatuh ke longkang kerana kawasan ini menjadi tumpuan pelancong, terutama pada musim cuti perayaan atau cuti sekolah,” katanya ditemui hari ini.

Ruzaida Amir, 37, dari Yan berkata, keadaan lebih bahaya jika berlaku air pasang besar di kawasan Kuala Kedah.

“Ia menyebabkan air melimpah dan ada kemungkinan, ramai yang tidak perasan dengan kewujudan longkang di lokasi berkenaan kerana paras air sama dengan jalan sehingga menutupi longkang terbabit,” katanya.

Sementara itu, Datuk Bandar Alor Setar Datuk Zaid Ahmad berkata, Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS) akan menggantikan besi penutup longkang yang baru sekiranya ada aduan diterima.

Beliau berkata, memang besi penutup longkang itu selalu hilang sebelum diganti baru namun kejadian sama tetap berulang.

“Kalau kita terima aduan, memang kita akan ganti yang baru di kawasan yang dinyatakan,” katanya dihubungi. – HARIAN METRO

Loading...
Terkini