comscore
Tumpuan :
Nasional

SADA didesak bina segera loji mini di Kuala Kedah

Ketua UMNO Bahagian Kuala Kedah, Datuk Abdul Muthalib Harun.

Oleh Kumaran Rajamoney

KUALA KEDAH: UMNO Bahagian Kuala Kedah mendesak Syarikat Air Darul Aman (SADA) untuk menyegerakan cadangan pembinaan loji air mini bagi menampung keperluan bekalan air kepada kira-kira 35,000 pengguna di Kuala Kedah.

Ketua UMNO Bahagian Kuala Kedah, Datuk Abdul Muthalib Harun berkata, cadangan itu sudah dikemukakan kepada SADA tiga tahun lalu, namun tidak diperhalusi syarikat pengendali air itu.

“Kita pernah bangkitkan perkara ini dalam forum dianjurkan Majlis Bandaraya Alor Setar, namun jawapan dari kerajaan negeri ketika itu adalah tidak kesesuaian. Alasan yang diberikan adalah air yang disalurkan di kawasan itu tidak menepati kualiti yang diperlukan,”

“Masalahnya, loji serupa dibina di kawasan lain tanpa masalah. Seharusnya kajian menyeluruh perlu dibuat bagi memastikan keperluan semasa penduduk ini dapat dipenuhi,” katanya ketika ditemui pemberita pada Majlis Rumah Terbuka dianjurkannya di Taman Rakyat, Mergong di sini hari ini.

Beliau juga menasihatkan Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor yang juga Pengerusi SADA untuk tidak berterusan menunding jari menyalahkan kerajaan terdahulu.

Ini kerana, Kerajaan Persekutuan sudah meluluskan peruntukan pembinaan Loji Rawatan Air (LRA) dan penukaran sistem paip di kawasan terjejas.

“Yang diperlukan penduduk ketika ini adalah keberkesanan pelan kontigensi yang disediakan SADA terutamanya ketika musim perayaan Aidilfitri. Pelan ini terbukti gagal sehingga ribuan akaun pengguna terjejas sejak tiga bulan kebelakangan ini,” katanya.

Selain jadual penghantaran air yang tidak sistematik, talian hotline SADA juga katanya tidak berfungsi secara efisien dalam melayani aduan pengguna.

Sebelum ini, Datuk Seri Muhammad Sanusi dilapor bahawa Kerajaan Negeri Kedah membuat persediaan lebih awal melalui pelan kontingensi untuk menghadapi sebarang kemungkinan gangguan bekalan air ketika sambutan perayaan Aidilfitri ini.

Beliau berkata isu bekalan air terutamanya semasa musim perayaan sering berulang, namun dengan pelan kontingensi itu beliau optimis permasalahan itu dapat dihadapi sebaik mungkin.

Loading...
Terkini