comscore
Tumpuan :
Jenayah

[VIDEO] 15 pegawai, anggota dicekup di pusat hiburan, ditahan tugas – Ayob Khan

 

GOMBAK:  Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay mengesahkan semua 15 pegawai dan anggota polis yang ditangkap dalam serbuan di sebuah pusat hiburan di Seremban, Negeri Sembilan semalam, kini ditahan tugas.

Beliau turut mengesahkan dua penjawat awam iaitu seorang timbalan pendakwa raya dan pendaftar mahkamah turut ditahan dalam serbuan sama.

Katanya, kertas siasatan kes itu sedang disiapkan untuk diserahkan kepada Pejabat Peguam Negara.

“Tindakan telah diambil…yang pertama mereka ditahan kerja dan kita juga sedang siapkan kertas siasatan untuk diserahkan kepada pejabat Peguam Negara.

“Daripada 15 anggota dan pegawai ditahan itu, 14 disahkan positif dadah. Dua penjawat awam yang ditahan itu juga positif (dadah).

“Semua anggota dan pegawai terbabit buat masa ini dilepaskan dengan jaminan polis sementara kertas siasatan dilengkapkan,” katanya ketika ditemui di Tanah Perkuburan Raudhatul Sakinah di Batu Caves, di sini, hari ini.

Semalam media melaporkan, seorang pegawai dan 14 anggota polis membabitkan pelbagai jabatan ditahan bersama dua penjawat awam termasuk timbalan pendakwa raya  di sebuah pusat hiburan di Jalan Dato Sheikh Ahmad, Seremban.

Mereka ditahan dalam serbuan dilakukan Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman kira-kira jam 2.30 pagi, semalam.

Semua pegawai dan 14 anggota yang ditahan itu bertugas di pelbagai jabatan termasuk Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah Nilai dan Tampin, selain Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Daerah Seremban serta Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) negeri.

Ayob turut menafikan tindakan ke atas pegawai dan anggota terbabit diambil hanya selepas maklumat serbuan tular di media sosial.

Sebaliknya, beliau berkata pihaknya tidak akan bertolak ansur dan tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana anggota atau pegawai yang ditahan dalam operasi pusat hiburan.

Katanya, setakat tujuh bulan pertama tahun ini sahaja, 741 tindakan tatatertib diambil dan kira-kira 60 anggota serta pegawai sudah dibuang kerja .

“Proses tatatertib akan mengambil masa panjang dan orang ramai diminta tidak menganggap pihak polis melepaskan anggota dan pegawai terbabit tanpa tindakan.

“Mereka (suspek) diberi jaminan polis, itu proses biasa. Jangan tanya pula kenapa dibebaskan, itu proses biasa di bawah Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya 1952.

“Walaupun saringan awal positif, kita akan hantar sampel kepada patologi yang mungkin akan ambil masa sebulan,” katanya.

Ayob berkata, jika disabit kesalahan anggota dan pegawai berkenaan boleh digantung kerja sementara rayuan dibuat di mahkamah.

Loading...
Terkini