comscore
Tumpuan :
Jenayah

Khidmat kirim wang secara haram menerusi kedai runcit terbongkar

Ayob Khan pada Sidang Media Operasi pengiriman wang haram di Sarawak.- FOTO: NSTP

KUCHING: Cubaan berselindung di sebalik perniagaan sah untuk mengaburi perkhidmatan kewangan haram akhirnya membawa padah apabila kegiatan mereka berjaya dikesan pihak polis.

Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, kegiatan itu terbongkar dalam operasi khas yang dilancarkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bersama Bank Negara Malaysia (BNM) di Sarawak, semalam.

Beliau berkata, dalam serbuan serentak itu lapan premis iaitu masing-masing dua di Sibu, Selangau, Batu Niah serta masing-masing satu premis di Mukah dan Bekenu dikesan melakukan kegiatan itu.

“Pengendali perkhidmatan kewangan haram itu menjalankan kegiatan mereka di sebalik perniagaan telekomunikasi dan kedai runcit di kawasan yang mempunyai ramai pekerja asing.

“Siasatan hasil serbuan itu mendapati aktiviti kiriman wang secara haram itu membabitkan destinasi seperti Indonesia, Bangladesh, Myanmar dan Filipina,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak, hari ini.

Turut hadir, Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Mancha Ata dan timbalannya, Datuk Ibrahim Darus.

Ayob Khan berkata, seramai 17 individu dirakam keterangan bagi membantu siasatan kes berkenaan.

“Dalam serbuan di lapan premis itu mata wang Malaysia berjumlah RM1.03 juta dan mata wang Indonesia berjumlah 1.16 juta rupiah dirampas.

“Pengendali perkhidmatan kewangan yang tidak berlesen itu disiasat mengikut Seksyen 4(1) Akta Perniagaan Perkhidmatan Wang 2011 dan Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasandan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLA),” katanya.

Mengulas lanjut, Ayob Khan berkata, dalam operasi khas itu juga, polis turut meneliti kaitan pengendali perkhidmatan kewangan haram itu dengan kegiatan jenayah berat yang lain seperti jenayah terancang termasuk perjudian dan penipuan.

“Ini berikutan peranan mereka mungkin sebagai pemudahcara dalam membantu aktiviti haram lain melalui pergerakan dana.

“Analisis sedang dijalankan terhadap urus niaga tunai serta transaksi kewangan mencurigakan yang membabitkan 39 akaun bank dengan jumlah dalam sebanyak RM47 juta bagi tahun 2021 hingga 2023,” katanya.

Menurutnya lagi, pemindahan wang secara haram ke luar negara meningkatkan saiz ekonomi bayangan yang dianggarkan kira-kira 18 peratus atau RM275 bilion daripada jumlah Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

“Dalam tempoh 2022 hingga tahun ini, BNM dengan kerjasama PDRM mengambil tindakan terhadap 18 pengendali perkhidmatan wang secara haram di Kedah, Pulau Pinang, Negeri Sembilan, Johor, Pahang dan Selangor,” katanya.

Loading...
Terkini