comscore
Tumpuan :
Jenayah

2 ditahan sejurus 30 minit menyamun

RAKAMAN CCTV sebuah restoran di S2 Heights, Seremban 2, di sini, yang memaparkan kejadian samun, awal pagi semalam. FOTO ihsan polis

SEREMBAN: Polis hanya mengambil masa 30 minit sahaja untuk memberkas dua lelaki yang menyamun sebuah restoran 24 jam di S2 Height, Seremban 2 di sini pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Seremban Asisten Komisioner Arifai Tarawe berkata, dalam kejadian pada 5.10 pagi itu kedua-dua suspek lelaki berusia 19 dan 21 tahun bersenjatakan parang dan cota.

“Ketika kejadian, tiada pelanggan berada di restoran terbabit. Kami menerima laporan daripada seorang lelaki berusia 29 tahun iaitu pembantu restoran melaporkan premisnya disamun dua lelaki.

“Hasil siasatan mendapati suspek meluru masuk dalam premis dengan mengacukan senjata berkenaan ke arah pekerja seterusnya mengambil sejumlah wang tunai, telefon bimbit dan tablet milik restoran di kaunter juruwang,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Beliau berkata, pengadu mengalami kerugian sebanyak RM2,400.

Menurutnya, bertindak atas maklumat, suspek berjaya ditahan di Taman Permai di sini, pada 5.45 pagi iaitu setengah jam selepas melakukan jenayah samun itu.

“Pihak polis turut membuat rampasan beberapa barang kes termasuklah sebuah motosikal yang digunakan suspek dalam kejadian ini.

“Suspek direman selama enam hari bermula semalam bagi melengkapkan siasatan kes yang disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan,” katanya.

Loading...
Terkini