comscore
Tumpuan :
Jenayah

30,000 biji pil kuda bernilai RM330,000 dijumpai di ruang tamu rumah

Foto hiasan

KOTA BHARU: Polis Kelantan merampas 30,000 biji pil kuda yang dianggarkan bernilai RM330,000 di ruang tamu sebuah rumah di Kampung Binjal, Chabang Empat, Tumpat, dekat sini, malam tadi.

Rampasan dadah itu adalah susulan penahanan tiga lelaki berusia antara 20 hingga 27 tahun, dalam sebuah kereta di tepi jalan di hadapan sebuah tanah perkuburan di Kampung Jal Kechil, Tumpat, kira-kira jam 10 malam semalam.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, hasil pemeriksaan, polis menemui satu paket plastik cerah mengandungi enam biji pil kuda, sebelum pemeriksaan susulan dijalankan di sebuah rumah di Kampung Binjal Chabang Empat.

“Hasil pemeriksaan lanjut yang dijalankan di ruang tamu menjumpai lima bungkusan kertas kekuningan di atas lantai yang mengandungi 30,000 biji pil kuda dan menjadikan jumlah kesemua dadah itu 30,006 biji dengan anggaran nilai RM330,066,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Muhamad Zaki berkata, ujian saringan yang dibuat mendapati dua daripada tiga suspek positif dadah jenis methamphetamine.

Katanya, semua suspek ditahan reman selama seminggu bermula hari ini sehingga 11 September untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan Seksyen 12(2) ADB 1952.

Dalam perkembangan sama, Muhamad Zaki berkata, sempena Op Tapis Bersepadu yang dijalankan di seluruh negeri bermula 20 Ogos sehingga semalam, seramai 602 individu berusia antara 16 hingga 63 tahun ditahan atas pelbagai kesalahan, selain pelbagai jenis dadah dianggarkan bernilai RM521,000 dirampas.

Loading...
Terkini