comscore
Tumpuan :
Jenayah

6 warga asing disyaki pecah pejabat ditahan

Polis merampas 38 keping mata wang asing pelbagai negara.

KUALA LUMPUR: Enam lelaki warga asing disyaki terbabit dalam kes pecah pejabat ditahan polis bersama pelbagai mata wang asing dalam beberapa serbuan, di sini, Khamis lalu.

Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Superintendan Ashari Abu Samah, berkata terdahulu pihaknya menerima laporan daripada seorang lelaki  1 April lalu mengenai kejadian pecah pejabat di sebuah wisma di Wangsa Melawati, Wangsa Maju, di sini, sehingga menyebabkan kerugian mata wang asing bernilai RM50,000 serta dua telefon bimbit.

Hasil risikan, pasukan daripada Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Wangsa Maju, membuat beberapa serbuan  jam 2 pagi 13 April lalu.

“Pasukan berjaya menahan enam lelaki warga asing berusia 31 hingga 41 tahun di sebuah kondominium di Jalan Metro Perdana, Metro Prima, di sini.

“Polis turut merampas 38 keping mata wang asing pelbagai negara, pakaian dipercayai dipakai suspek ketika kejadian, beg silang berwarna hitam jenama Werocker, beg silang berwarna coklat jenama Gelape, sepasang kasut berwarna hitam jenama Fashion, empat walkie-talkie, dan peralatan dipercayai digunakan untuk memecah masuk pejabat,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Ashari berkata, hasil siasatan lanjut mendapati suspek disyaki pecah masuk pejabat itu melalui bumbung di tingkat atas bangunan.

“Kesemua suspek juga disyaki terbabit dua kes lain di sekitar Kuala Lumpur dan Shah Alam, Selangor,” katanya.

Beliau berkata, suspek disambung reman selama empat hari bermula hari ini hingga 20 April ini manakala seorang lagi masih diburu.

Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan, boleh dihukum penjara  14 tahun dan boleh dikenakan denda atau sebat.

Loading...
Terkini