comscore
Tumpuan :
Jenayah

Op Noda Mega: 48 pelacur warga asing ditahan 

SERDANG: 48 wanita disyaki pelacur warga asing antara 64 individu yang ditahan menerusi 13 serbuan Op Noda Mega di tiga daerah sekitar Gombak, Serdang dan Sentul, semalam.

Operasi bermula 3 petang itu dijalankan Bahagian D7 (kongsi gelap, judi dan maksiat) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman selama beberapa jam bagi memantau aktiviti persundalan di sekitar Lembah Klang.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, pihaknya turut menahan 14 lelaki tempatan dan dua wanita warga asing yang dipercayai pengurus premis terbabit.

“Kesemua premis urut ini didapati melakukan kesalahan menggajikan wanita warga asing bekerja tanpa sebarang permit yang sah serta menjalankan aktiviti yang tidak bermoral dengan menawarkan perkhidmatan seks dan urutan batin.

“Turut ditahan semasa serbuan adalah pelanggan lelaki warga asing yang melanggan pelacur dan juga tiada memiliki sebarang dokumen perjalanan diri yang sah,” katanya hari ini.

Katanya, pemeriksaan mendapati tujuh daripada premis yang diperiksa beroperasi tanpa sebarang lesen perniagaan sah daripada pihak berkuasa.

Menurutnya, kebanyakan premis rumah urut berkenaan beroperasi dari 11 pagi hingga 11 malam dengan menawarkan perkhidmatan seksual kepada pelanggan yang datang terus ke premis atau membuat tempahan menerusi media sosial.

“Premis yang diserbu ini kebanyakannya menyasarkan pelanggan lelaki tempatan, warga asing dan pelanggan tetap sahaja dibenarkan masuk ke dalam premis.

“Harga bagi pakej perkhidmatan seks yang ditawarkan adalah bermula daripada RM150 sehingga RM320 bagi satu sesi, manakala bagi urutan badan RM60 sehingga RM120.

“Bayaran tambahan turut dikenakan sebanyak RM50 ke RM80 sekiranya pelanggan ingin mendapatkan khidmat seperti urutan batin dan dibayar terus kepada tukang urut yang dilanggan,” katanya.

Mohd Shuhaily berkata, 48 pelacur ditahan terdiri daripada 38 warga Thailand, China (tiga), Vietnam (tujuh) dan masing-masing seorang lelaki Pakistan serta Nepal ditahan ketika cuba melanggan wanita berkenaan.

“Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 372A, Seksyen 372B, Seksyen 373, Seksyen 377D Kanun Keseksaan dan Seksyen 55B, Seksyen 15(1)(c), Perkara 39B Akta Imigresen.

“Kesemua tangkapan dan rampasan dibawa balik ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) masing-masing untuk proses dokumentasi dan siasatan selanjutnya,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini