comscore
Tumpuan :
Jenayah

9 warga asing ditahan, penemuan mayat lelaki dengan enam tikaman

Foto hiasan

IPOH: Polis menahan sembilan individu warganegara asing susulan mayat seorang lelaki yang ditemukan dengan enam kesan tikaman serta kesan calar di muka di sebuah tapak pembinaan di Taman Menglembu, di sini, awal pagi hari ini.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Abang Zainal Abidin Abang Ahmad, berkata, mayat mangsa tanpa identiti berusia 20an yang juga merupakan warganegara asing itu, turut ditemukan dalam keadaan mulutnya berdarah.

Katanya, sembilan individu warga asing yang ditahan terdiri dari lapan lelaki dan seorang wanita berumur antara 21 hingga 41 tahun direman tujuh hari bermula hari ini hingga 24 Jun bagi membantu siasatan.

Menurutnya, maklumat berkenaan kes bunuh itu diterima daripada orang awam kira-kira jam 1.23 pagi tadi yang menjumpai mangsa dalam keadaan muka bercalar dan tidak sedarkan diri d kawasan tapak pembinaan itu.

“Siasatan awal polis di tempat kejadian mendapati mangsa terbaring dalam keadaan mulut berdarah. Sehingga kini identiti mangsa masih dalam semakan dan pengesahan dari pihak majikan.

“Pihak polis mendapati terdapat enam kesan tikaman dan kesan trauma oleh objek tumpul di bahagian kiri muka serta calar di bahagian badan mangsa.

“Hasil bedah siasat yang dijalankan jam 11 pagi tadi mendapati punca kematiannya adalah disebabkan “blunt trauma of the head”,” katanya dalam kenyataan.

Menurut Abang Zainal Abidin, susulan itu siasatan kes dijalankan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan iaitu kerana kesalahan membunuh dengan niat.

Katanya, tangkapan semua sembilan warga asing susulan pembunuhan itu, dilakukan sekutar jam 5 pagi tadi.

Sehubungan itu, beliau memohon orang ramai yang mempunyai maklumat kes itu supaya tampil memberi keterangan kepada pegawai penyiasat kes, Asisten Superintendan Chua Sze Yuan di talian 012-6195312 atau mana-mana balai polis berhampiran.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini