comscore
Tumpuan :
Jenayah

Banyak kesan dera pada tubuh mangsa

Oleh Raja Nurul Antasha Raja Zaman

JOHOR BAHRU: Terdapat banyak kesan penderaan pada tubuh badan seorang kanak-kanak lelaki berumur empat tahun yang maut, petang semalam.

Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, selain lebam terdapat juga kesan gigitan dan luka dipercayai dicucuh objek panas di badan mangsa.

“Hampir seluruh badan terdapat kecederaan dari kepala sampailah ke kaki. Kecederaan di merata tempat, mungkin dipukul di belakang dan dicucuh sama ada api ataupun benda-benda yang panas diseluruh badan termasuk diatas kemaluan dan sebagainya. Insiden ini amat menyedihkan.

“Terdapat kesan (luka dan lebam) yang baharu dan ada yang lama, mengikut apa yang dibincang bersama doktor pakar bedah.

“Walau bagaimanapun, proses post mortem sedang berjalan dan berkemungkinan memerlukan lebih masa kerana dapat banyak kecederaan pada badan mangsa,” katanya pada sidang media selepas melawat mayat mangsa di Jabatan Forensik, Hospital Sultan Ismail (HSI), siang tadi.

Tambahnya, mangsa yang merupakan anak bongsu dari 11 adik beradik dijaga kakak kandungnya yang juga anak ketiga sejak September lalu.

Mangsa dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), HSI setelah didapati pengsan di sebuah rumah di Senggarang, Batu Pahat, Jumaat lalu.

Namun, mangsa dilaporkan meninggal dunia kira-kira jam 6.40 petang semalam.

Lima individu termasuk kakak mangsa telah ditahan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah IPD Batu Pahat, Sabtu lalu antara jam 12 tengah hari hingga 9.45 malam di sekitar Senggarang.

Kesemua individu ditahan itu, direman hingga 31 Disember ini bagi membantu siasatan.

“Polis turut merampas barang yang disyaki digunakan untuk mendera mangsa antaranya pengecas telefon bimbit, sarung bantal, cadar, batang besi berukuran 29 inci, penyangkut baju, jaring penutup kipas dan batang besi penongkat motosikal.

“Pada awalnya kes disiasat mengikut Seksyen 31 (1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 namun polis mengklasifikasikan semula kes akibat kematian mangsa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya.

Loading...
Terkini