comscore
Tumpuan :
Nasional

Mangsa banjir di Johor bertambah 10 orang

FOTO: NSTP

JOHOR BAHRU: Mangsa banjir di Johor bertambah 10 orang setakat 8 pagi ini, berbanding 8 malam tadi.

Setiausaha Kerajaan Negeri Johor, Tan Sri Dr Azmi Rohani, berkata pagi ini, mangsa banjir yang dicatatkan adalah seramai 7,619 orang membabitkan 2,083 keluarga berbanding 7,609 orang daripada 2,078 keluarga malam tadi.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) berkata, setakat jam 8 pagi ini, semua mangsa banjir itu ditempatkan di 50 pusat pemindahan sementara (PPS) yang beroperasi di tujuh daerah terjejas banjir di negeri ini.

“Hanya Johor Bahru dan Batu Pahat menunjukkan peningkatan mangsa banjir yang sedikit masing-masing kini mencatatkan 1,710 orang daripada 457 keluarga di 10 PPS serta 83 orang daripada 24 keluarga di dua PPS.

“Kota Tinggi sahaja menunjukkan sedikit penurunan daripada 4,470 orang membabitkan 1,207 keluarga di 24 PPS pada malam tadi, berbanding 4,448 orang daripada 1,203 keluarga,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Azmi berkata, Kluang, Segamat, Kulai dan Pontian pula kekal dengan jumlah mangsa banjir seperti malam tadi.

Katanya, Kluang masih dengan mangsa banjir turut 1,163 mangsa daripada 341 keluarga yang semuanya masih ditempatkan di lapan PPS.

“Segamat pula kekal dengan 103 orang membabitkan 29 keluarga yang masih di empat PPS, Kulai kekal dengan jumlah mangsa banjir seramai 90 orang daripada 24 keluarga di satu PPS dan Pontian masih 22 orang daripada lima keluarga yang berada di sebuah PPS,” katanya.

Sementara itu, berdasarkan laporan Jabatan Kerja Raya Malaysia (JKR) Negeri Johor, terdapat empat jalan di Kota Tinggi, serta masing-masing satu jalan di Mersing dan Kluang yang terjejas dengan banjir selepas dinaiki air dan semuanya masih ditutup bagi laluan semua jenis kenderaan.

Jabatan Meteorologi Malaysia (Met Malaysia) pula tidak mengeluarkan sebarang amaran hujan atau ribut petir di mana-mana kawasan di negeri ini.

Sehingga pagi ini, semua daerah di negeri ini dilaporkan hanya mendung.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini