comscore
Tumpuan :
Jenayah

Bayaran RM3,000 seorang untuk keluar secara haram dari Malaysia

Foto: Tangkap layar video di Facebook/ Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia

PETALING JAYA:  Pendatang asing tanpa izin (PATI) yang ditahan di perairan Kuala Selangor awal pagi semalam mendakwa, bayaran RM3,000 seorang dikenakan kepada mereka untuk satu perjalanan keluar secara haram dari Malaysia.

Pengarah Maritim Selangor, Kepten Maritim V Siva Kumar berkata, ia didedahkan oleh seorang daripada 12 PATI warga Indonesia, yang ditahan bersama tekong di kedudukan 2.5 batu nautika barat daya Kuala Selangor, di sini, jam 3.14 pagi.

Dalam satu kenyataan di facebook Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia, beliau berkata, berdasarkan maklumat yang diterima daripada radar sistem pengawasan laut (SWASLA) Maritim Malaysia Area Control Central (ACC) Klang telah mengesan satu vesel mencurigakan di perairan Pulau Angsa menuju ke Jeram.

“Maritim Malaysia Negeri Selangor telah mengatur gerak sebuah bot ronda bagi memintas vesel tersebut.

Pada jam lebih kurang 3.14 pagi, sebuah bot kayu berwarna coklat berjaya ditahan setelah adegan kejar mengejar hampir 15 minit, ” katanya.

Jelasnya, hasil pemeriksaan mendapati bot terbabit dikendalikan dua kru warga Indonesia masing-masing berumur 44 dan 55 tahun dari Tanjung Balai.

“Pemeriksaan lanjut terdapat sembilan penumpang lelaki dan tiga penumpang wanita berumur lingkungan 23 hingga 46 tahun. Semua warga asing itu tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah.”

Beliau berkata, bot dan semua PATI dibawa ke Jeti Pasukan Polis Marin (PPM) Pulau Indah untuk siasatan lanjut.

“Sebarang aduan dan maklumat mengenai kegiatan jenayah maritim serta kecemasan di laut, hubungi Pusat Operasi Maritim Negeri Selangor di talian 03-31760627 atau MERS 999 untuk tindakan segera,” katanya.

VIDEO – SUMBER: FB/ Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia

https://www.facebook.com/watch/?v=854586105576873

 

Loading...
Terkini