comscore
Tumpuan :
Nasional

Nilai 3 kena gempur

NILAI: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menggempur Nilai 3 di sini dengan memeriksa hampir ke setiap premis kediaman termasuk sebuah premis perniagaan terkemuka.

Seramai 149 pendatang asing tanpa izin (PATI) diperiksa kelmarin dan semalam, sebelum 44 daripada mereka ditahan atas pelbagai kesalahan.

Pengarah JIM Negeri Sembilan, Kennith Tan Ai Kiang berkata, operasi penguatkuasaan itu membabitkan seramai 21 pegawainya dan 18 pegawai Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS).

“Seramai 44 pati ditahan menerusi Ops Mahir, Kutip dan Bersepadu yang dijalankan 22 premis kediaman dan komersial, termasuk sebuah premis perniagaan terkemuka di Nilai 3.

“Seramai 149 individu diperiksa dalam operasi itu dan 44 pati ditahan atas pelbagai kesalahan mengikut Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, kesemua yang ditahan adalah 19 lelaki Bangladesh, sembilan lelaki warga Nepal, seorang lelaki Sri Lanka, sembilan lelaki dan enam wanita warga Indonesia.

“Kesemua yang ditahan berusia di antara 24 hingga 48 tahun. Semasa operasi dijalankan, terdapat cubaan warga asing untuk meloloskan diri namun berjaya dipatahkan oleh pasukan operasi.

“Mereka dihantar dan ditahan di Depot Imigresen Lenggeng untuk siasatan lanjut.

“Lapan borang saman saksi juga dikeluarkan kepada majikan dan penjaga premis untuk hadir ke pejabat bagi membantu siasatan.

“Seperti yang sedia maklum malah tersebar di media sosial bahawa kawasan perniagaan di Nilai 3 antara kawasan panas membabitkan warga asing,” katanya.

Justeru, katanya, pihaknya berterima kasih kepada orang ramai yang membantu menyalurkan maklumat berhubung keberadaan pati dan mengalu-alukan sebarang maklumat, selain menjamin kerahsiaan pemberi maklumat.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini