comscore
Tumpuan :
Jenayah

Budak 3 tahun dibunuh, tangan diikat, kepala tersepit pokok

Foto Hiasan

LAHAD DATU: Seorang kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun dipercayai dibunuh selepas ditemui dalam keadaan tangannya diikat di kawasan semak di Kampung Panji, di sini semalam.

Mayat mangsa dari suku Palauh itu ditemui orang awam dalam keadaan berdarah pada beberapa anggota badan, selain kepalanya turut tersepit antara dua pokok, sebelum dimaklumkan kepada pihak polis

Pemangku Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Superintendan Azmir Abdul Razak, berkata siasatan awal mendapati mangsa mengalami luka pada kepala, kedua belah tangan dan kaki kiri, manakala tangan sebelah kanannya diikat menggunakan seutas tali.

Ketika ditemui, katanya kepala mangsa turut tersepit antara dua pokok.

“Pemeriksaan juga menemukan kesan cedera pada kepala dipercayai akibat benda tajam, selain kesan torehan pada kedua-dua tangan dan kaki kiri,” katanya melalui kenyataan media, hari ini.

Mengulas lanjut, katanya, siasatan mendapati ibu mangsa yang berusia lingkungan 20 tahun memaklumkan kanak-kanak itu keluar dari rumah untuk bermain, namun tidak pulang sehinggalah mayatnya ditemui kira-kira jam 3 petang.

Bertindak atas maklumat orang awam, katanya, seorang lelaki warga asing berusia lingkungan 30 tahun selaku individu terakhir bersama mangsa, ditahan bagi membantu siasatan.

“Suspek didapati positif penyalahgunaan dadah serta dipercayai kurang siuman. Turut ditahan ibu bapa mangsa yang juga warga asing untuk siasatan lanjut,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Loading...
Terkini