comscore
Tumpuan :
Jenayah

Ceroboh inap desa, lelaki warga asing ditahan 

Foto hiasan

KUALA LUMPUR: Seorang lelaki warga asing ditahan selepas menceroboh masuk ke sebuah inap desa di Kampung Perwira Jaya Ampang Hilir, di sini, semalam.

Kejadian disedari oleh bapa saudara pemilik inap desa terbabit selepas terlihat seorang lelaki cuba menceroboh kediaman berkenaan kira-kira jam 1 tengah hari.

Apabila pemilik inap desa bergegas ke rumah berkenaan mendapati seorang lelaki yang tidak dapat dipastikan identitinya berada di ruang tamu kediaman berkenaan.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohd Azam Ismail, berkata ekoran kejadian itu, pemilik inap desa terbabit menghubungi pihak polis untuk mendapatkan bantuan.

“Setelah sepasukan anggota polis peronda (MPV) tiba di lokasi kira-kira jam 3 petang, pengadu menyerahkan suspek kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

“Semakan mendapati suspek adalah lelaki warga Nepal, bagaimanapun dia gagal mengemukakan sebarang dokumen pengenalan diri yang sah,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya, siasatan masih dijalankan untuk mengenal pasti motif suspek menceroboh inap desa terbabit dan suspek disyaki mengalami masalah mental.

“Hasil ujian saringan awal air kencing yang dijalankan ke atas suspek didapati negatif dadah. Suspek kini direman empat hari untuk membantu siasatan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 448 Kanun Keseksaan kerana menceroboh rumah dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini