comscore
Tumpuan :
Jenayah

Ceroboh perairan negara, lima nelayan asing ditahan

Foto: Ihsan Maritim Malaysia

GEORGETOWN: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Pulau Pinang menahan lima kru warga Indonesia ketika menangkap ikan di perairan negeri ini, malam tadi.

Mereka ditahan oleh pasukan keselamatan yang melakukan rondaan Op Tanjung dan Op Pertiwi pada kedudukan 37.6 batu nautika barat daya Pulau Kendi, jam 9.10 malam.

Pengarah Maritim Malaysia Pulau Pinang, Kepten Maritim Abd Razak Mohamed, berkata pemeriksaan ke atas bot nelayan asing itu mendapati ia dikendali oleh lima kru warga Indonesia berusia antara 18 hingga 35 tahun.

Foto: Ihsan Maritim Malaysia

“Semuanya gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri dan permit menangkap ikan di perairan Malaysia.

“Mereka disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta Perikanan 1985 dan Akta Imigresen 1959/63 iaitu menangkap ikan di perairan Malaysia tanpa permit daripada Ketua Pengarah Perikanan Malaysia serta tidak memiliki dokumen perjalanan diri sah,” katanya menerusi kenyataan di sini, hari ini.

Kru bersama bot yang ditahan termasuk hasil laut dianggarkan seberat 20 kilogram, dibawa di Jeti Limbungan Batu Maung.

Suspek diserah kepada pegawai penyiasat untuk tindakan lanjut. – BERITA HARIAN

Loading...
Terkini