comscore
Tumpuan :
Jenayah

Cubaan seludup PATI, 18 warga Myanmar ditemui berhimpit dalam van

FOTO : PDRM

KOTA BHARU: Polis Kelantan menahan seorang lelaki dipercayai tekong yang terbabit dalam sindiket pemerdagangan manusia ketika Op Taring Wawasan di Tumpat semalam.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, bertindak atas maklumat, sepasukan pegawai bersama anggota Strike Force Kompeni C Batalion 9 Pasukan Gerakan Am (PGA9) menjalankan tugas pemantauan dan intipan di lorong belakang Sekolah Kebangsaan (SK) Sri Neting, Tumpat.

Katanya, ketika sedang membuat intipan, anggota bertugas ternampak sebuah van yang dinaiki dua lelaki dalam keadaan mencurigakan menghala ke arah Jalan Pak Keral.

“Dengan bantuan unit kereta peronda (MPV) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tumpat, van berkenaan berjaya ditahan di hadapan SK Berangan, Jalan Bunut Sarang Burung.

“Sebaik sahaja van itu berhenti, dua lelaki bertindak keluar dari kenderaan untuk melarikan diri, bagaimanapun salah seorang daripada mereka berjaya ditahan setelah berlaku pergelutan manakala seorang lagi berjaya melarikan diri ke kawasan hutan,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Mengulas lanjut, Muhamad Zaki berkata, hasil pemeriksaan polis di bahagian belakang van berkenaan menjumpai 18 warganegara Myanmar terdiri daripada 13 lelaki dan lima wanita.

“Hasil siasatan mendapati kesemua warganegara Myanmar yang ditahan gagal mengemukakan sebarang dokumen perjalanan diri yang sah dan mereka disyaki memasuki Malaysia dari Thailand melalui jalan yang tidak diwartakan.

“Kesemua tangkapan dan rampasan dibawa ke Balai Polis Kuala Jambu bagi tindakan seterusnya,” katanya.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 26a Akta Antipemerdagangan Orang Dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 kerana menjalankan penyeludupan migran dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1963.

Loading...
Terkini