comscore
Tumpuan :
Jenayah

Curi kereta di Sabah, pecah rumah pula di Semenanjung

Foto hiasan

KOTA KINABALU: Selepas mencuri pacuan empat roda di sebuah bilik pameran kenderaan di Jalan Lintas, Kepayan, di sini, awal bulan ini, dua lelaki yang dikehendaki polis didapati turut melakukan jenayah pecah masuk rumah di Semenanjung.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Asisten Komisioner Mohd Zaidi Abdullah berkata, dua penjenayah itu ditahan di Lapangan Terbang Kota Kinabalu (KKIA) sebaik tiba di pintu ketibaan selepas menaiki penerbangan dari Semenanjung, 8 malam, Rabu lalu.

Beliau berkata, kedua-dua suspek bersama seorang lagi rakan jenayah mereka yang masih diburu dilaporkan memecah masuk bilik pameran kenderaan di Jalan Lintas, Kepayan, 8 Mac lalu dan melarikan dua pacuan empat roda Nissan Navara.

“Mereka melarikan dua kenderaan yang diletakkan di luar kedai tidak berpagar. Kenderaan yang dicuri dijual bagi mendapatkan wang.

“Kedua-dua suspek berusia 36 dan 39 tahun itu berjaya ditahan hasil siasatan dan risikan berterusan pasukan Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu,” katanya pada sidang media di IPD Kota Kinabalu, di sini, hari ini.

Mohd Zaidi berkata, ketika tangkapan dibuat di pintu ketibaan KKIA, polis turut merampas hasil kegiatan jenayah pecah rumah yang dilakukan mereka di Semenanjung, antaranya 11 telefon bimbit, 10 utas jam tangan, sebuah komputer riba, wang tunai dan lain-lain barang.

Beliau berkata, penangkapan suspek itu membolehkan polis menyelesaikan kes pecah masuk bilik pameran kenderaan dengan penemuan semula dua pacuan empat roda yang dilarikan suspek dengan anggaran kerugian RM350,000.

“Polis turut menahan seorang lelaki berusia 28 tahun yang membeli kenderaan curi itu dengan harga RM10,000.

“Hasil siasatan, suspek turut mengaku terbabit dalam kes pecah rumah di Sabah yang membabitkan satu kes di daerah ini, Keningau (2 kes) dan Semenanjung membabitkan tiga kes di Selangor dan Perak,” katanya.

Katanya, kedua-dua suspek masing-masing memiliki 18 dan 19 rekod jenayah lampau serta tersenarai dalam senarai Orang Dikehendaki.

“Hasil ujian saringan, suspek didapati positif dadah jenis Methamphetamine. Polis kini memburu seorang lagi rakan jenayah suspek yang berasal dari Kampung Darau, Manggatal,” katanya memaklumkan kes disiasat mengikut Seksyen 457/379A Kanun Keseksaan. – HARIAN METRO

Loading...
Terkini