comscore
Tumpuan :
Jenayah

Dadah RM1.5 juta ditemui dalam bungkusan pakaian terpakai

KUCHING: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) menumpaskan sindiket pengedaran dadah melibatkan rampasan dadah jenis methamphetamine seberat 46 kilogram yang dianggarkan bernilai RM1.5 juta.

Rampasan terbabit dilakukan JKDM Sarawak di sebuah rumah di Matang Kuching pada 6 Mac lalu susulan maklumat yang diterima daripada Pasukan JKDM Cawangan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching.

Pengarah JKDM Sarawak Norizan Yahya berkata, seorang suspek lelaki berusia lingkungan 20-an ditahan disyaki merupakan salah seorang ahli sindiket terbabit.

“Hasil pemeriksaan ke atas rumah terbabit menemui 45 paket teh yang mengandungi serbuk kristal disyaki dadah jenis methamphetamine seberat 46 kilogram.

“Kesemua dadah terbabit dianggarkan boleh digunakan seramai 450,000 penagih,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat JKDM Sarawak di Kuching.

Beliau berkata, kesemua 45 paket dadah terbabit ditemui disembunyikan dalam empat bungkusan pakaian terpakai atau bundle yang diletakkan di ruang tamu tingkat bawah rumah berkenaan.

“Siasatan awal mendapati lelaki tersebut merupakan ahli sindiket yang bertanggungjawab untuk melakukan agihan dan penghantaran kepada pelanggan di sekitar bandar Kuching dan berdasarkan sumber sindiket ini dipercayai beroperasi sejak beberapa bulan yang lalu,” katanya.

Norizan berkata, siasatan lanjut turut mendapati sindiket tersebut membawa masuk dadah terbabit dari Semenanjung Malaysia ke Sarawak menerusi laluan udara dengan dadah berkenaan dibungkus bersama pakaian terpakai (bundle) bagi mengaburi pihak berkuasa.

Katanya, modus operandi yang digunakan sindiket terbabit merupakan taktik terbaharu digunakan sindiket dikesan oleh JKDM Sarawak.

Bagi tempoh Januari hingga 12 Mac tahun ini, JKDM Sarawak merampas pelbagai jenis dadah seberat 87.8 kilogram yang dianggarkan bernilai lebih RM2.59 juta.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini