comscore
Tumpuan :
Jenayah

Diperdaya menang loteri, warga emas rugi RM120,000 

SIBU: Percaya kononnya dia menang loteri, seorang lelaki warga emas kerugian wang simpanan RM120,000 apabila ditipu seorang lelaki dan dua perempuan.

Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Mohd Azman Ahmad Sapri, berkata mangsa berusia 70-an itu mendakwa didatangi ketiga-tiga suspek semasa berada di parkir sebuah hotel di Kanowit pada awal November lalu.

Suspek mengatakan warga emas itu menang loteri RM300,000 dan seorang suspek perempuan kemudian meminta nombor akaun bank mangsa untuk digunakan bagi tujuan kemasukan wang.

Mohd Azman berkata mangsa turut dijanjikan akan diberi wang RM200,000 tetapi suspek meminta mangsa menyerahkan wang berjumlah RM120,000 terlebih dahulu.

Beliau berkata mangsa seterusnya dibawa oleh ketiga-tiga suspek menaiki sebuah kenderaan menuju ke bandar Sibu kononnya untuk urusan pembayaran wang kemenangan loteri berkenaan.

“Apabila sampai di sebuah premis nombor ramalan di bandar Sibu, suspek lelaki berjalan menuju ke premis berkenaan untuk membuat semakan kemenangan loteri terbabit.

“Selepas itu, mangsa dibawa oleh ketiga-tiga suspek untuk mengeluarkan wang berjumlah RM119,000 dari akaun Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB).

“Selepas itu, mangsa menyerahkan wang tunai berjumlah RM120,000 kepada seorang suspek perempuan sebelum mangsa dihantar balik ke pekan Kanowit,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mohd Azman berkata mangsa hanya menyedari ditipu setelah membuat semakan akaun di sebuah institusi kewangan di bandar Sibu beberapa hari kemudian dan mendapati tiada kemasukan wang berjumlah RM300,000 seperti yang dijanjikan oleh ketiga-tiga suspek.

Loading...
Terkini