comscore
Tumpuan :
Nasional

PRK DUN Jepak: Tiada insiden buruk sepanjang kempen

Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Mohd Azman Ahmad Sapri

KUCHING: Kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Jepak disifatkan antara yang paling aman apabila tiada insiden besar yang menjejaskan kelancaran proses demokrasi itu berlaku.

Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Mohd Azman Ahmad Sapri berkata, sejak kempen bermula 21 Oktober lalu hingga semalam hanya lima laporan polis diterima.

Beliau berkata, laporan polis itu hanya membabitkan kes kecil seperti merosakkan bendera parti.

“Polis berterima kasih kepada parti politik yang bertanding serta orang ramai di Bintulu khususnya di Jepak kerana tidak mencetuskan sesuatu yang boleh menggugat ketenteraman awam.

“Saya berharap keadaan ini berterusan sehingga tempoh kempen tamat tengah malam ini dan hari pengundian, esok,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak, di sini, hari ini.

Mohd Azman berkata, sepanjang kempen itu juga, polis mengeluarkan sebanyak 128 permit kempen dan ceramah.

Sementara itu, katanya seramai 624 pegawai dan anggota polis bertanggungjawab memastikan kelancaran proses pengundian bagi PRK DUN Jepak, esok.

Beliau turut menasihatkan pengundi agar keluar menunaikan tanggungjawab di 14 pusat mengundi dengan 42 saluran yang dibuka mulai jam 7.30 pagi hingga 5.30 petang esok.

“Jangan menyerahkan kad pengenalan kepada orang lain kecuali petugas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR),” katanya.

PRK DUN Jepak diadakan susulan kematian penyandang, Datuk Talib Zulpilip, pada 15 September lalu.

Tiga calon menawarkan diri untuk mendapat mandat 22,804 pengundi di kawasan itu iaitu calon Gabungan Parti Sarawak (GPS), Iskandar Turkee, 54, calon Parti Bumi Kenyalang (PBK) Stevenson Joseph Sumbang, 42, dan calon Parti Aspirasi Rakyat (ASPIRASI), Chieng Lea Phing, 62.

| ARTIKEL BERKAITAN

 

Loading...
Terkini