comscore
Tumpuan :
Jenayah

‘Jaminan saya siapa pun penggodam akan diheret ke muka pengadilan’

Ketua Eksekutif PERKESO, Datuk Seri Dr Azman Mohammed Aziz Mohammed.

KUALA LUMPUR: Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) giat menjalankan pasca krisis susulan serangan siber yang dialami jam 7 malam, Sabtu lalu.

Siasatan forensik dilakukan termasuk dakwaan pembabitan pihak tertentu di sebalik serangan siber berkenaan.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Perkeso, Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed berkata mesyuarat pihaknya dengan Majlis Keselamatan Negara (MKN) bersetuju untuk membuat laporan polis sebaik hasil siasatan forensik dalaman mendapati ada elemen jenayah komersial.

“Jaminan saya, siapa pun penggodam yang menjadi dalang di sebalik serangan siber ini akan diheret ke muka pengadilan kerana Perkeso tidak akan berkompromi dalam soal perlindungan data peribadi yang dijadikan kepentingan utama demi negara,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata butiran lanjut berhubung data yang didakwa dicuri dan dipaparkan di laman sesawang gelap (dark web) belum boleh diperincikan kerana tertakluk kepada proses siasatan.

Menurutnya Perkeso akan terus memperkukuh infrastruktur ICT dari semasa ke semasa dengan panduan daripada MKN, Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA) dan agensi berkaitan serta amalan terbaik bagi memastikan tiada kelompongan sistem untuk dimanipulasi anasir penggodam.

Dalam pada itu, Mohammed Azman berkata Perkeso sudah mengambil empat langkah utama dalam menghadapi serangan siber merangkumi pengaktifan Pelan Kesinambungan Perniagaan (BCP), pengukuhan sistem komunikasi dan teknologi maklumat (ICT) Perkeso, selain siasatan forensik dalaman serta pelaksanaan pelan komunikasi.

“Ketika ini, pihak berkuasa berpuas hati dengan langkah-langkah yang diambil Perkeso, namun tindakan susulan dan berterusan akan terus dilaksana dengan kerjasama rapat pihak berkuasa dari semasa ke semasa,” katanya.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini